Kebelakangan ini, Google dilihat sedang memperbaiki mutu pengalaman pengguna pelayar web Chrome mereka, dengan mengurangkan kadar iklan dan kemaskini kepada jumlah pemalam yang hadir di Chrome Web Store.
Terkini, Google telah mengumumkan bahawa mereka akan mula menghentikan penawaran pemalam berbayar yang dapat dilihat di Chrome Web Store.
Disamping memastikan pemalam-pemalam ini selamat digunakan, Google nampaknya ingin mengurangkan kadar silap bayaran apabila pengguna memuat-turun pemalam dari kedai atas talian tersebut.
Ini tidak bermakna bahawa pemalam berbayar tidak boleh ditawarkan kepada pengguna, tetapi nampaknya selepas ini mereka perlu menggunakan sistem pembayaran yang lain.
Menurut Google, pembangun pemalam tidak boleh menawarkan pemalam berbayar sejak hari Isnin, dan ini merupakan penguatkuasaan polisi yang telahpun diumumkan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Google akan mula mematikan fungsi cuba percuma dalam masa terdekat ini, dan sistem pembayaran untuk pemalam akan dimatikan menjelang Februari 2021 kelak.