Cari @ Amanz

Untuk tahun kedua berturut-turut, siri Galaxy S menerima versi Fan Edition dengan beberapa spesifikasi yang diubahsuai dari versi asal yang dilancarkan pada awal tahun. Samsung Galaxy S20 FE (Fan Edition) hadir dalam dua versi iaitu 4G dan 5G. Perbezaan di antaranya terletak pada pemproses Snapdragon 865 untuk model 5G dan Exynos 990 untuk model 4G.

Ia dilengkapi skrin 6.5″ SAMOLED FHD+ 120Hz, dipadankan dengan memori sehingga 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4500 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W. Ia masih boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti juga secara nirwayar.

Bagi yang memerlukan storan yang lebih besar, kad mikro SD sehingga 1TB boleh digunakan. Sedikit aneh fon kepala tidak lagi disertakan dan pengecas yang diberikan pula sekadar 15W. Untuk menikmati pengecasan paling pantas pengguna perlu membeli pengecas 25W secara berasingan.

Kamera utama menggunakan sensor 12+12+8 megapixel. Lensa sudut lebar digabungkan dengan lensa ultra sudut lebar dan lensa telefoto. Sistem telefoto menyokong zum optikal sehingga 3X dan zum digital pula sehingga 30X. Sementara itu kamera swafoto pula adalah sebesar 32 megapixel.

Sistem pengimbas cap jari optikal yang terbina dalam skrin digunakan bersama dengan kemampuan kalis air IP68. Selain itu sistem audio Dolby Atmos diberikan bagi memberikan pengalaman audio yang memuaskan. Peranti masih menggunakan Android 10 tetapi akan diberikan sokongan kemas kini sistem operasi selama 3 tahun.

Samsung Galaxy S20 FE akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM3399, dan boleh dipra-tempah bermula esok. Versi yang ditawarkan adalah hadir dengan Snapdragon 865, 8GB RAM dan 256GB storan. Pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima Samsung UV Sterilizer, jaminan perlindungan skrin, dan juga Clear Standing Cover.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd