Apakah Perbezaan Panel OLED, QLED, microLED dan mini-LED?

Apakah Perbezaan Panel OLED, QLED, microLED dan mini-LED?

Diterbitkan pada Sep 25, 2020 oleh .

Skrin adalah salah satu benda penting yang perlu kita fikir sebelum membeli sesebuah televisyen, komputer riba, tablet atau juga telefon pintar. Zaman sekarang ada banyak jenis skrin, LCD, OLED, AMOLED, P-OLED, Liquid Retina dan banyak lagi. Setiap panel skrin ada kelebihannya dan ada juga kekurangannya.

Dalam artikel ini, saya akan kongsi kepada anda apa beza panel paparan OLED, QLED, microLED dan juga mini-LED. Yang mana satukah panel terbaik? Yang mana pula yang cantik dan tahan lama? Harap dengan adanya artikel ini, ia akan membantu anda untuk memahami perbezaan setiap panel dan kelak boleh membantu membuat keputusan membeli sesuatu produk.


OLED

Apa itu OLED? OLED adalah akronim bagi  Organic Light-Emitting Diode. Organik di sini adalah untuk sejenis filem karbon yang diletakkan di dalam panel skrin sebelum panel kaca. OLED kebiasaannya mempunyai kualiti paparan warna hitam yang sangat gelap dan warna putih yang cukuip cerah. Secara tidak langsung menjadilkan kecerahan keseluruhan skrin itu sekata. Ini bermakna, tidak akan ada masalah bahagian warna hitam terlampau malap dan putih atau warna terang terlampau terang. Sumber cahaya adalah sama dan sekata.

Perkara ini dijayakan dengan setiap lampu LED pada panel OLED memancarkan cahaya tersendiri, tidak seperti LCD yang bergantung kepada satu lapisan sumber cahaya berbeza. Istilah backlight tidak wujud untuk panel OLED kerana sumber cahayanya adalah pada panel yang sama.

Kelebihan OLED ini adalah pada imej kualiti yang lebih statik, hasil paparan yang lebih responsif dan lancar serta mampu mempunyai masa pendam serenda 0.001ms (teori di atas kertas). Masalah OLED hanyalah jika tiada mod penjimatan kuasa atau paparan sentiasa aktif tanpa dimatikan – masalah burn-in boleh wujud. Iaitu kesan seakan kandungan sebelum ini yang dibuka/dimainkan berlapis dan kekal bersama-sama dengan kandungan baru yang sedang dibuka.

QLED

QLED adalah alternatif kepada OLED. Tetapi masih tidak sehebat OLED, dan apa sebenarnya panel ini? QLED adalah akronim bagi quantum dot light-emitting diode. Ia adalah satu teknologi bagi menyelesaikan masalah burn-in. QLED ini dihasilkan oleh Samsung, yang mana rekaan panel LED itu direka dengan konsep titik kuantum. LED bersaiz kecil memfokuskan kepada warna biru dan saiz LED yang lebih besar memfokuskan kepada warna merah.

Disebabkan QLED menggunakan teknologi titik kuantum, ia bukan panel organik dan adalah lebih tahan lama, stabil dan membenarkan warna yang lebih baik serta kecerahan dipaparkan adalah lebih terang. Disebabkan OLED adalah organik, ia meninggalkan kesan imej yang kekal.

Panel skrin seperti ini dibina dari bahan semikonduktor bersaiz nano. Setiap titik mempunyai saiz partikel berbeza dan memancarkan cahaya dengan warna yang jitu, secara tidak langsung mempunyai pemancaran cahaya yang lebih efisien yang memberikan kualiti hebat. Jadi QLED lebih kepada mereka yang ingin mempunyai sejenis produk tahan berpanjangan.

microLED

Apa pula microLED ini? Nama lain bagi panel paparan ini adalah mLED atau µLED dan mengikut namanya sendiri “micro” – ia adalah teknologi yang menggunakan LED bersaiz mikro. Ia dicipta untuk mempunyai warna pada pixel yang mana mempunyai potensi tinggi dalam menghasilkan panel skrin yang lebih efisien. Untuk mudah faham, microLED adalah pesaing OLED.

OLED adalah sejenis paparan yang tiada lapisan lampu baclight. Begitu juga dengan microLED, yang mana unit-unit LED tersendiri yang turut boleh dikawal secara individu. Ini menjadikan peranti yang menggunakan microLED mempunyai kontra warna yang lebih baik serta masa tindak balas yang lebih pantas. microLED juga disasarkan untuk berasing dengan OLED kerana panel microLED turut boleh hadir dan bentuk fleksibel.

Perbezaan ketara antara OLED dan microLED adalah OLED ada bahan organik + LED tidak organik, manakala microLED adalah tidak organik sepenuhnya. microLED turut mempunyai ketahanan yang lebih lama, lebih banyak gamut warna. microLED turut mampu menghasilkan kecerahan yang lebih baik, yang mana ada kemampuan mencapai sehingga 10,000 nits. Jangka hayat microLED adalah mencapai 11 tahun jika digunakan secara berterusan (teori) dan menggunakan kuasa rendah sahaja.

Sasaran utama microLED adalah harga panel lebih murah berbanding OLED. Kerana semua bahan adalah ciptaan manusia. Tetapi disebabkan ia masih baru dan proses membuat panel ini amat sukar, pada awal peranti yang menggunakan microLED akan dijual pada harga mahal. Ia hanya akan mula murah menjelang tahun 2026 (sasaran), kerana permintaan sudah tinggi dan proses membuat adalah lebih mudah dengan teknologi di masa akan datang.

mini-LED

mini-LED adalah alternatif kepada OLED dan boleh dikatakan adalah pengganti kepada LCD. Jika dibandingkan dengan microLED, mini-LED adalah lebih mudah dihasilkan dan saiz LED adalah lebih besar. mini-LED menggunakan tiga LED untuk satu pixel, manakala microLED adalah satu LED satu pixel. Walau bagaiamanapun seperti LCD, mini-LED tidak mempunyai warna hitam yang cukup gelap atau warna yang lebih tajam.

mini-LED mempunyai kontras warna serta kawalan warna yang jauh lebih baik dari LCD. Ia mempunyai warna hitam yang lebih gelap dari LCD, mampu memberikan warna yang lebih cantik dan kualiti gambar resolusi tinggi boleh dipaparkan dengan baik tanpa butiran dikorbankan. Perkara ini berjaya, kerana setiap lampu LED dalam mini-LED boleh berfungsi tanpa bergntung kepada pemproses atau perisian tambahan. Ia juga boleh dikatakan adalah pengganti kepada panel LED.

Untuk kualiti keselurukeseluruhan yang memuaskan, warna tajam, butiran dipelihara serta warna hitam yang tidak seakan warna kelabu – panel mini-LED menggunakan teknologi low dimming– yang mana setiap LED dimalapkan agar warna hitam kelihatan lebih gelap. Kemudian disebabkan mini-LED adalah lebih baik dari panel LED atau LCD serta lebih murah untuk dihasilkan berbanding microLED – ia kelak akan digunakan secara lebih meluas.


Nampaknya di masa hadapan, kita akan ada semakin banyak pilihan skrin untuk sesebuah peranti. Walaupun microLED adalah pengganti OLED – ini tidak bermakna yang panel OLED akan pupus. Manakala LCD ada kemungkinan pupus dan digantikan dengan mini-LED. Cuma bukan dalam masa terdekat kerana LCD masih murah dan mini-LED masih lagi mahal. QLED walau bagaimanapun mungkin adalah fokus untuk beberapa televisyen, peranti Apple dengan skrin mini-LED dan harapnya suatu hari nanti akan ada peranti dengan microLED.

Harap dengan artikel sebegini, ia membantu anda untuk memahami apa beza antara setiap perbezaan panel skrin ini.


TIPS & ULASAN