#Retrologi – Peranti Android Pertama Diperkenalkan

#Retrologi – Peranti Android Pertama Diperkenalkan

Diterbitkan pada Sep 24, 2020 oleh .

Android ialah sistem operasi untuk peranti mudah-alih yang diperkenalkan sejak 2003, dan kini digunakan oleh berbilion pengguna di seluruh dunia.

Tahukah anda bahawa Android pada asalnya dibangunkan sebagai sebuah sistem operasi yang memfokuskan kepada kamera digital?

Walaupun begitu, Andy Rubin, salah satu daripada pengasas syarikat Android mengatakan bahawa permintaan untuk kamera digital semakin menurun di kalangan pengguna, dan kemudiannya telah mengalihkan usaha kearah peranti telefon.

Google kemudiannya mengambil-alih syarikat tersebut pada bulan Julai 2005 untuk mula memasuki pasaran peranti pintar, melalui kerjasama bersama-sama syarikat-syarikat pembuat peranti yang lain.

Pada 23 September 2008, Google telah memperkenalkan peranti Android yang pertama di dunia, iaitu HTC Dream dengan kerjasama bersama-sama pembuat peranti terkemuka HTC dengan sistem operasi Android 1.0.

Peranti ini dikuasakan CPU Qualcomm MSM7201A dan mempunyai memori sebanyak 192MB dan storan dalaman 256MB yang boleh dikembangkan kepada 16GB melalui storan MicroSD.

Selain daripada menjadi peranti sistem operasi Android yang pertama dan mempunyai teknologi paparan sesentuh, ia masih lagi mengekalkan papan kekunci fizikal yang boleh diakses dengan menolak bahagian paparan tersebut ke tepi.

Peranti ini dilancarkan sebagai sebuah konsep untuk pembuat peranti yang lain untuk bertarung dengan peranti iPhone keluaran Apple dan juga BlackBerry, yang pada waktu tersebut ialah peranti pilihan golongan usahawan berjaya pada waktu tersebut.

Rekaan ini kemudiannya diubah menjadi peranti sesentuh penuh pada peranti-peranti lain dengan pembangunan papan kekunci digital yang terbina pada sistem operasi Android 1.5 Cupcake.

Google dan Android kemudiannya dilihat bekerjasama dengan jenama-jenama peranti yang lain seperti Samsung, LG dan Huawei untuk memperkenalkan peranti konsep dibawah jenama Google Nexus untuk memperkenalkan ciri-ciri baru pada sistem operasi Android.

Pada 2016, Google menamatkan kerjasama tersebut dan mula membangunkan peranti mereka sendiri dibawah nama Google Pixel. Setakat ini, Google telah memperkenalkan empat siri model Google Pixel, dimana Google Pixel 5 bakal diumumkan tidak lama lagi.



TIPS & ULASAN