Sejak beberapa minggu lepas, kita telah mendengar mengenai Epic Games yang “lawan” dengan pihak Apple disebabkan oleh polisi AppStore. Terbaru, hari ini, beberapa syarikat teknologi membentuk sebuah pakatan khusus dinamakan sebagai Coalition for App Fairness.
Melalui pakatan ini, syarikat seperti Epic Games, Spotify, March Group, Deezer, Basecamp dan sebagainya bersatu, dan meminta supaya pengguna ditawarkan lebih kebebasan untuk peranti mereka. Disamping itu, isu berkenaan dengan Apple mengenakan cukai 30% untuk pembelian di App Store turut ditekankan.
Antara perkara yang ditekankan selain cukai 30% adalah termasuk ketiadaan pilihan lain untuk penawaran aplikasi di iOS, selain Apple yang mengawal dan menggunakan iOS untuk menguntungkan perkhidmatan dan penawaran mereka.
Dengan adanya pakatan ini, mereka mengalakkan semua syarikat tanpa mengira saiz menyertai, dan memastikan suara mereka lebih didengari berbanding berlawan secara berasingan.
Apa pun, ia tidak diketahui lagi sama ada pembentukkan pakatan ini akan memberikan impak atau sebaliknya memandangkan tiada sebarang tindakan perundangan yang diambil – disamping kebanyakkan yang membentuk pakatan ini masih bergantung kepada App Store untuk menawarkan perkhidmatan kepada pengguna.