Carian
Oppo Watch Rasmi Untuk Pasaran Malaysia – Harga Bermula RM899
September 25, 2020 Amy Maizuraa

Seperti dijanjikan, Oppo Watch kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ditawarkan pada tanda harga bermula RM899 (41mm) dan RM1,299 (46mm), kehadirannya ke pasaran tempatan boleh dianggap sebagai penambahan kepada rangkaian peranti boleh-pakai yang baharu untuk memberikan lebih pilihan kepada pengguna.

Spesikasinya di sini, jam tangan pintar ini hadir dalam dua pilihan model iaitu : 41mm dengan skrin bersaiz 1.6-inci, dan model 46mm pula dilengkapi skrin sebesar 1.9-inci. Paparannya di sini menggunakan panel berasaskan AMOLED untuk kedua-dua model. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan pada skrin model 46mm yang mana, rekaannya kelihatan lebih melengkung pada sisi. Keseluruhan tubuh pula diperbuat daripada logam aluminium bersama binaan tali jam berasaskan getah.

Oppo Watch

Seterusnya, Oppo Watch menggunakan sistem operasi WearOS daripada Google. Selain, turut dilengkapi cip Snapdragon Wear 3100 dan Ambiq Micro Apollo 3 Wireless. Untuk memori, ia dibekalkan dengan 1GB RAM dan storan 8GB. Untuk baterinya, model 46mm menyokong bateri sebesar 430mAh, manakala model 41mm pula sebesar 300mAh.

Dari segi fungsinya pula, ia menyertakan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan seperti pemantauan jantung, pemantauan kualiti tidur, latihan penafasan berpandu dan banyak lagi. Ia juga menyokong lima mod sukan berbeza seperti larian kecergasan, larian pembakaran lemak, berjalan kaki, berbasikal dan berenang.

Oppo Watch

Spesifikasi lain termasuklah sokongan kalis air sehingga 5ATM, pengecasan berasaskan magnetik, dan menawarkan sokongan Watch VOOC Flash Charging. Bagi yang berminat, sesi pra-tempahan telah dibuka bermula hari ini – 2 oktober kelak dan pakej pembelian akan didatangkan dengan tambahan 2 pasang tali jam (bernilai RM199) secara percuma. Lebih menariknya lagi, 50 pembeli terawal (sekitar Lembah klang) akan menerima satu lagi tali jam tambahan edisi istimewa hasil tatahias kartunis tempatan tersohor, Katon.

Komen