Dron terbang yang memantau keselamatan rumah ketika anda tiada ialah peranti yang pernah suatu ketika dahulu jatuh ke dalam kategori fiksyen sains. Tetapi ia kini dizahirkan dalam sebuah produk terkini Ring iaitu Always Home Cam.
Always Home Cam ialah sebuah dron mini kuad-kipas yang direka khusus untuk digunakan di dalam rumah. Pemilik boleh mengarahkannya untuk terbang dan memantau sebarang pencerobohan ketika mereka tiada di rumah. Ia boleh terbang secara automatik atau diprogramkan sendiri oleh pemilik.
Menerusi integrasi Ring Alarm, dron akan terus terbang ke lokasi pencerobohan dikesan untuk merakam wajah pencuri. Ciri paling menarik ialah pemilik boleh menstrim video terus ke telefon pintar untuk melihat sendiri situasi semasa.

Ini pastinya berguna jika mereka mungkin terlupa untuk memadamkan api di dapur dan boleh menggunakan Always Home Cam bagi melihatnya sendiri. Bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan di rumah, tidak perlu risau haiwan akan mengalami kecederaan kerana bahagian kipas mempunyai kekisi keselamatan terbina.
Always Home Cam akan dipasarkan tahun hadapan pada harga $250 (~RM 1041) sebuah. Dron dalam rumah kini sudah menjadi realiti. Apakah agaknya anjakan paradigma penggunaan dron yang akan berlaku seterusnya?