Cari @ Amanz

Idea kesemua peranti di rumah boleh dikawal dari satu hub telah wujud sejak 1950an. Antara versi paling awal sebuah kotak kawalan jauh yang besar digunakan untuk menutup tingkap, menghidupkan lampu, membuka TV dan mengawal sistem pendiang api. Pada dekad 80an pengenalan mikroprosessor menghidupkan semula impian ini dengan lebih banyak peranti boleh dikawal seperti sistem audio, pendingin hawa, mesin VCR dan TV.

Google Home

Kesemua sistem proto-pintar ini gagal mendapat sambutan meluas kerana sistem yang tertutup serta tiadanya sokongan dari pengeluar peralatan elektrik. Di akhir kurun ke-20, idea ini timbul semula selepas penggunaan internet semakin meningkat. Konsep Internet of things ataupun peranti berhubung diperkenalkan oleh Kevin Ashton.

Bergerak dua dekad ke hadapan dan kini terdapat pelbagai sistem peranti berhubung boleh digunakan seperti Google Home, Apple Home Kit, Samsung SmartThings, Alexa Smart Home dan banyak lagi. Sebagai pengguna kewujudan pelbagai sistem berbeza ini mendatangkan dilema yang besar.

Sistem manakah ingin dipilih dan adakah peranti yang dibeli boleh digunakan dengan sistem yang dipilih ini. Sebagai antara insan awal yang menerjah masuk ke dalam arena memintarkan rumah, kami akui pernah tersalah membeli lampu pintar yang tidak boleh digunakan dengan sistem sedia ada.

Masalah sistem dekad 80an muncul semula dan petanda awal kegagalan yang lalu bakal berulang semula seperti rancangan di Astro dalam dilihat. Oleh itu pada tahun 2019. Project Connected Home Over IP (CHIP) telah diumumkan.

Di bawah Project Connected Home Over IP, sebanyak 145 syarikat peranti berhubung seperti Google, Amazon, Apple, Samsung dan Zigbee Alliance bersetuju menggunakan satu piawaian sumber terbuka yang membolehkan kesemua sistem mereka beroperasi rentas platform.

Usaha pertama untuk menghasilkan satu piawaian ini jarang sekali dilihat dan mempunyai skop yang luas. Di bawah PCHOIP peranti berhubung yang boleh dikawal ialah seperti di bawah

  • Lampu dan Elektrik – Mentol, palam,
  • Sekuriti – kamera, sensor, pengesan pergerakan
  • Tingkap – bidai, langsir
  • Televisyen
  • HVAC – termometer, pendingin hawa, penapis udara
  • Akses – pintu garaj, pintu rumah

Terdapat banyak lagi sistem yang akan dapat dikawal di bawah payung PCHOIP kelak. Antara nama besar lain yang bersetuju untuk menyertai PCHOPI ialah ADT, IKEA, Kroger, LEEDARSON, Legrand, MMB Networks, Schneider Electric, Signify, Silicon Labs dan Wulian.

Jadi mengapa peranti berhubung kami masukkan ke dalam senarai #Seratus21? Kerana Project Connected Home Over IP akan dilancarkan pada tahun 2021 bagi membuka era baru peranti berhubung yang lebih inklusif, terbuka, dan tidak memeningkan pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd