Realme datang lagi! Rasanya, jika anda adalah pengikut setia kami di Facebook, pastinya anda akan perasan kapsyen ini yang ditulis pada sejumlah entri berkaitan Realme bukan? Lambakan produk Realme di pasaran kini memberi lebih pilihan yang fleksibel kepada pengguna untuk memilih. Terkini, Realme hadir dengan satu lagi pilihan buat pengguna menerusi pengenalan siri Realme 7 – iaitu Realme 7 (RM1,299) dan Realme 7 Pro (RM1,499). Dari segi luaran dan pandangan mata kasar, kedua-duanya kelihatan sama.
Eh, apa yang sama? Bukankah penawaran spesifikasinya adalah berbeza? Sabar, bawa bertenang. Penulis belum sempat menghabiskan ayat lagi. Maksud penulis di sini adalah sama dari segi rekaan luarannya sahaja. Jika kita teliti, setiap tata hias pada susuk tubuh peranti ini kelihatan seiras juga boleh dipanggil ‘kembar’. Kemasannya kali ini juga dilihat menimbulkan ilusi berbeza pada mata yang melihatnya – termasuklah penulis sendiri. Nampak bersahaja, tetapi cantik dengan cara tersendiri.
Untuk bercakap mengenai perbezaan pula ianya terletak pada spesifikasinya – di mana setiap satunya ada mempunyai pro dan kontra masing-masing. Penjelasan ringkas mengenai perbezaan adalah dari segi cip pemproses, saiz skrin, saiz bateri serta pengecasan dan seterusnya. Boleh kata, hampir keseluruhan pada spesifikasi ada perbezaannya. Namun begitu, untuk artikel ini penulis hanya akan memfokuskan kepada Realme 7 sahaja, iaitu pengganti untuk Realme 6 sebelum ini.
Selepas mencubanya sekitar hampir seminggu, penulis boleh kata apa yang ditawarkan pada Realme 7 adalah hampir sama dengan Realme 6. Jangan marah, penulis katakan di sini hampir dan bukannya sepenuhnya sama. Sebabnya, masih terdapat juga sejumlah penambahbaikan lain yang terdapat padanya. Contohnya, kita ada cip terkini daripada MediaTek iaitu Helio G95, bateri lebih besar dan perubahan pada sensor utama. Penulis akan bercerita lanjut mengenai penambahbaikan ini sebentar lagi. Tapi, apa yang menjadi persoalan adalah : Dengan harga RM1,299 seunit, adakah anda rasa berbaloi untuk melaburkan duit dapat Realme 7? Teruskan membaca artikel ini untuk menjawab persoalan tersebut :
Spesifikasi Ringkas Peranti
Realme 7 | |
---|---|
Jenis | Peranti Pintar |
Paparan | 6.5″ IPS LCD FHD+, |
Pemproses | MediaTek Helio G95 (12nm) |
Cip | 2 x 2.05 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G76 MC4 |
RAM | 8GB |
Muatan Dalaman | 128GB (UFS2.1) |
Kamera Utama | 64 MP (f/1.8) – (Utama) 8 MP (f/2.3) 119˚– (Sudut Lebar) 2 MP (f/2.4) – (Makro) 2 MP (f/2.4) – (Kedalaman, B&W) |
Kamera Depan | 16 MP (f/2.1) |
Bateri | 5,000mAh + 30W Dart Charge |
Sim / Telefoni | Nano SIM + Nano SIM + MicroSD |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,299 |
PAPARAN :
Sebagai mukadimahnya, penulis akan memulakan ulasan ini dengan bercakap berkaitan paparan pada peranti. Adakah anda nampak sesuatu pada paparannya? Baiklah, konsep yang sama pada Realme 6 sebelum ini terus dibawa ke Realme 7. Paparan hadapan dengan rekaan skrin berlubang untuk kamera swa-foto. Paparannya di sini bersaiz 6.5-inci FHD+ dengan penggunaan panel jenis IPS LCD. Titik fokus pada Realme 7 terletak pada sokongan skrin kadar segar semula yang tinggi iaitu mencecah 90Hz. Tapi, kebolehan ini sebenarnya turut ditawarkan pada Realme 6 sebelum ini.
Namun begitu, Realme 7 masih dianggap cukup menarik. Sebabnya, sokongan skrin 90Hz inilah yang membezakannya dengan Realme 7 Pro. Di mana, Realme 7 Pro hanya menyokong skrin dengan kadar segar semula 60Hz dan saiz skrinya juga lebih kecil iaitu berukuran 6.4-inci. Tapi anda perlu tahu, kekuatan pada Realme 7 Pro adalah pada jenis panel yang digunakan olehnya iaitu Super AMOLED. Oleh itu, di sini kita dapat lihat masing-masing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Berbalik pada topik asal kita iaitu Realme 7. Bercakap mengenai kualiti paparan, skrinnya dilihat mampu memaparkan kontra warna yang terang. Segala paparan berasaskan teks dapat dibaca dengan mudah, selain sudut pandang yang dipaparkan juga luas. Boleh dikatakan, apa yang disajikan oleh Realme 7 terasa cukup seimbang untuk kegunaan harian majoriti pengguna hari ini. Kemudian, tahap kecerahan maksimum pada skrin juga dilihat baik, di mana cukup memadai untuk digunakan dalam persekitaran yang terang. Contoh paling mudah adalah ketika anda berada di luar bangunan, atau mungkin d i bawah cahaya matahari terik.
REKAAN :
Bercakap soal rekaan pula, ini adalah salah satu bahagian yang menarik perhatian penulis. Pada hemat penulis, apa yang dipersembahkan oleh Realme pada model kali ini cukup berbeza dengan sebelum ini. Untuk makluman semua, unit ulasan yang diterima adalah berwarna Mist White iaitu Realme 7 dalam kemasan warna putih susu. Tapi, andai kata anda lebih menggemari kemasan yang berwarna gelap. Realme 7 dalam warna Blue mungkin lebih sesuai untuk anda jadikan sebagai pilihan di hati.
Jika anda perasan juga kemasan matte yang digunakan pada model kali ini nampak serba baru dan juga unik. Konsep tata hias yang minimalis ini juga menjadikannya mempunyai satu tarikan yang tersendiri. Kemasannya juga tidak begitu licin dan penulis juga akui, memegang peranti ini sememangnya terasa sangat selesa di tangan. Meskipun begitu, anda masih perlu berhati-hati. Kenapa? Kemasan belakangnya ini mudah terdedah kepada risiko calar-calar halus. Jadinya, penulis sarankan anda untuk menggunakan kerangka pelindung yang tersedia pada kotak pembungkus.
Seterusnya, turut kelihatan susun atur butang standard pada peranti ini diletakkan pada tempat yang mudah untuk dicapai. Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti. Butang ini juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari untuk menyahkunci peranti. Prestasinya di sini boleh dipuji di mana, ia berupaya mengesan cap jari dengan baik.
Seterusnya, pada sisi kiri pula terdapatnya butang laras suara dan slot untuk kad SIM. Slot ini menyokong sehingga tiga slot kad – yang mana membolehkan anda menggunakan dua kad nano SIM secara serentak, selain ruangan untuk kad microSD sebagai alternatif untuk luaskan storan. Tiada sebarang butang dan port sambungan pada bahagian atas. Manakala, bahagian bawah pula terdapatnya pembesar suara mono, sambungan port USB-C dan bicu audio 3.5mm yang boleh digunakan untuk mendengar muzik.
PRESTASI :
Seperti yang penulis katakan di awal artikel ini, Realme 7 menggunakan cip MediaTek Helio G95. Sedikit fakta menarik untuk semua, Realme 7 merupakan peranti pertama yang menggunakan cip pemproses ini. Variasi yang penulis terima di sini adalah memori sebesar 8GB RAM dan storan dalaman 128GB (UFS 2.1). Penulis turut difahamkan, peranti ini hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja untuk pasaran tempatan.
Menyentuh sedikit mengenai cip pemproses ini, MediaTek Helio G95 adalah penambahbaikan daripada MediaTek Helio G90T dengan peningkatan prestasi pada CPU dan GPU. Cip dengan binaan 12nm ini membawakan rekaan lapan-teras, menerusi 2 x 2.05 GHz Cortex-A76 dan 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 bersama padanan GPU Mali-G76 MC4. Penulis juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras ke atas peranti ini menerusi aplikasi AnTuTu Benchmark, GeekBench 5 dan Don’t Kill My Apps sebagai rujukan (rujuk gambar di bawah) :
Untuk prestasinya di dunia nyata, Realme 7 mampu berfungsi dengan baik dan responsif sepanjang ulasan ini dilakukan. Boleh dikatakan, hampir kesemua tugasan dan aktiviti harian biasa seperti membuka, menutup dan menukar aplikasi terasa memuaskan. Ditambah pula dengan sokongan fungsi kadar segar semula 90Hz menjadikan pengalaman menatal pada paparan terasa baik tanpa berhadapan dengan isu lengah masa yang melampau.
Penulis juga sempat mengujinya dengan sejumlah permua seperti PUBG Mobile dan Call of Duty: Mobile. Melaluinya, penulis dapat memainkan PUBG pada tetapan grafik tertinggi “HD” dengan kadar bingkai “High“. Manakala, COD pula boleh dimainkan pada tetapan grafik “Very High” dengan kadar bingkai “High“. Perlu diakui juga, tiada isu panel belakang yang panas melampau ditemui. Namun begitu, ia tidak bermaksud tiada panas langsung. Sebaliknya, hanya sekadar suam-suam kuku selepas dimainkan sekitar 30 minit.
KAMERA :
Di sini juga terdapatnya satu lagi peningkatan pada Realme 7. Sedia tahu, Realme 7 masih menggunakan lensa utama sebesar 64-Megapixel, sama juga seperti yang ditawarkan pada Realme 6 sebelum ini. Akan tapi apa yang membezakan antara keduanya adalah Realme menggunakan sensor daripada Sony pada lensa utama Realme 7 iaitu Sony IMX682. Itu sahaja perubahan yang dibuat dan tiga lagi lensa lain iaitu 8-Megapixel (Ultra-Lebar) + 2-Megapixel (Kedalaman) + 2-Megapixel (makro) masih lagi sama.
Seperti biasa, kamera ini turut hadir dengan sejumlah fungsi menarik lain seperti Nightscape, Portrait, Ultra Macro dan banyak lagi. Lebih menariknya lagi, fungsi Starry Mode turut tersedia padanya – yang mana sebelum ini hanya ditemui pada Realme X3 SuperZoom. Untuk menggunakan fungsi Starry Mode ini, penulis sarankan anda untuk menggunakan tripod bagi mendapatkan gambar yang baik dan stabil. Sebabnya, proses tangkapan di sini mengambil masa sekitar 4 minit.
Menyentuh soal prestasi, ia dilihat mampu memberikan hasil gambar yang memuaskan. Kamera utama dilihat berfungsi dengan baik – di mana, dilihat berupaya menghasilkan kualiti imej yang baik dalam situasi terang. Penghasilan warna juga nampak menyerlah, selain perincian butiran pada subjek juga kelihatan tajam. Sekiranya, anda jenis yang menggemari hasil gambar dengan warna yang lebih menonjol. Anda boleh mengaktifkan fungsi Chroma Boost yang terdapat pada bahagian atas di antara muka kamera. Namun begitu, bagi mendapatkan sebuah gambar yang nampak semula jadi. Penulis tidak sarankan anda untuk menggunakan fungsi ini kerana warna yang dihasilkan begitu menonjol dan ada kalanya tidak sama dengan dunia nyata.
Seterusnya, penghasilan gambar malam juga nampak baik-baik sahaja. Boleh dikatakan terdapat peningkatan berbanding sebelum ini, tetapi masih mudah terdedah kepada kesan hingar. Kemudian, lensa ultra-lebarnya di sini sangat berguna untuk anda menangkap gambar landskap. Sama seperti peranti Realme yang lain, ia turut membolehkan anda menangkap gambar dengan darjah pandang sehingga 119 darjah. Untuk hasilnya pula, ia bergantung kepada pencahayaan tetapi, pada hemat penulis hasilnya adalah kurang memuaskan. Tidak banyak yang boleh dikomen untuk lensa makro, hasil gambar dilihat tidak begitu jelas.
Beralih pada prestasi kamera hadapan, hasilnya nampak baik pada situasi pencahayaan yang cukup. Sejumlah fungsi menarik pada kamera utama juga turut ditemui pada tetapan kamera hadapan. Antaranya seperti Nightscape, Portrait, fungsi kecantikan dan sebagainya. Kesemua fungsi ini disertakan bagi membolehkan anda tampil sedikit berbeza pada gambar swafoto, sekaligus menjadikannya menarik untuk dikongsi di media sosial.
Akhir sekali, video pada Realme 7 boleh merakam dengan tetapan tertinggi 4K pada 30fps. Lebih menariknya lagi, ia turut menyokong ciri penstabilan daripada Realme sendiri iaitu UIS dan UIS Max Super Video Stabilization.
BATERI :
Realme 7 dilengkapi bateri sebesar 5,000mAh. Ini adalah peningkatan ketara berbanding Realme 6 yang didatangkan bateri sebesar 4,300mAh dan Realme 7 Pro pula 4,500mAh. Ketahanan baterinya di sini berjaya mencapai target dengan bacaan Screen On-Time (SoT) yang baik iaitu sekitar 8 jam dan 26 minit. Malah, bateri juga masih berbaki di tahap 27% ketika itu. Namun begitu, ketahanan ini akan berubah bergantung pada penggunaan masing-masing. Lebih menariknya lagi, proses untuk pengecasan semula juga adalah singkat. Sebabnya, Realme 7 dilengkapi pengecasan pantas 30W Dart Charge – di mana proses pengecasan penuh hanya mengambil masa sekitar satu jam sahaja.
Perbandingan Peranti Pesaing
Realme 7 | Poco X3 NFC | Samsung Galaxy M51 |
6.5″ IPS LCD, 1080 x 2400, 90Hz (405 PPI) | 6.67″ IPS LCD, 1080 x 2400, 120Hz (395 PPI) | 6.7″ Super AMOLED, 1080 x 2400, 60Hz (393 PPI) |
Mediatek Helio G95 (12 nm) 2 x 2.05 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 732G (8 nm) 2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver | Snapdragon 730G (8 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 470 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver |
Mali-G76 MC4 | Adreno 618 | Adreno 618 |
8 Gigabyte | 6 Gigabyte | 8 Gigabyte |
128GB | 64 / 128 Gigabyte | 128 Gigabyte |
Kamera Utama : 64 MP (f/1.8) – (Utama) 8 MP (f/2.3) 119˚– (Sudut-Lebar) 2 MP (f/2.4) – (Makro) 2 MP (f/2.4) – (Kedalaman, B&W) | Kamera Utama : 64 MP (f/1.9) – (Utama) 13 MP (f/2.2) 119˚– (Sudut-Lebar) 2 MP (f/2.4) – (Makro) 2 MP (f/2.4) – (Kedalaman) | Kamera Utama : 64 MP (f/1.8) – (Utama) 12 MP (f/2.2) 119˚– (Sudut-Lebar) 5 MP (f/2.4) – (Makro) 5 MP (f/2.4) – (Kedalaman) |
Kamera Hadapan 16-Megapixel (f/2.1) | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32 Megapixel f/2.0 |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Bicu Audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Mist White, Mist Blue | Cobalt Blue, Shadow Gray | Celestial Black |
5,000mAh (30W Dart Charge) | 5,160 mAh (Pengecasan Pantas 33W) | 7,000 mAh (Pengecasan Pantas 25W) |
RM1,299 | Bermula RM899 | RM1,599 |
KESIMPULAN :
Jadi bagaimana? Berbaloi atau tidak untuk anda melaburkan duit untuk mendapatkan telefon ini? Okay, rasanya jikalau anda mahukan merasai pengalaman menggunakan peranti dengan MediaTek Helio G95 bersama skrin 90Hz. Realme 7 mungkin boleh anda cuba. Seandainya anda tidak mementingkan soal skrin yang tinggi, tetapi teringin untuk menggunakan peranti di bawah Realme 7. Anda boleh dapatkan Realme 7 Pro. Cuma skrinnya di sini kecil sedikit tetapi menggunakan panel jenis Super AMOLED. Baterinya juga kecil sedikit iaitu 4,500mAh tapi sokongan pengecasan pantas 65W dan menggunakan pemproses Snapdragon 720G.
Sebagai alternatif lain lagi, anda juga mungkin boleh dapatkan Poco X3 NFC dengan skrin 120Hz, bateri besar 5,160mAh dan pemproses Snapdragon 732G. Ataupun anda juga boleh mendapatkan Samsung Galaxy M51. Harganya mungkin tinggi sedikit, tetapi ia hadir dengan panel Super AMOLED, bateri besar 7,000mAh dan menggunakan Snapdragon 730G. Jadilah pengguna yang bijak, pilihan di tangan anda.
Pro
- Selesa untuk penggunaan sepanjang hari, kemasan tidak licin
- Pemproses baik dalam kelasnya
- Peningkatan pada bahagian kamera
- Menawarkan ketahanan bateri memuaskan
- Proses pengecasan semula yang singkat
Kontra
- Kualiti audio kurang memuaskan