LG TONE Free Kini Rasmi Di Malaysia Pada Harga RM699 – TWS Dengan Pensteril UV Terbina
LG

LG TONE Free Kini Rasmi Di Malaysia Pada Harga RM699 – TWS Dengan Pensteril UV Terbina

Diterbitkan pada Sep 29, 2020 oleh .

Jenama LG agak senyap di Malaysia, kecuali dari bahagian elektronik seperti televisyen, mesin basuh atau peti ais. Akhirnya mereka kembali aktif dalam bahagian berkaitan telefon pintar. Sebagai permulaan, LG telah melancarkan LG TONE Free secara rasmi di Malaysia. Ia adalah TWS dengan pod pengecasan yang ada pensteril UV terbina.

LG bekerjasama dengan Meridian Audio untuk pengoptimasian aksesori audio mereka ini. TWS ini menyasarkan kualiti audio yang jelas serta pengalaman pendengaran spatial. LG TONE Free turut menggunakan cip DSP tersendiri, menyokong Meridian Lossless Packing yang dioptimasikan oleh Dolby, serta mampu menstrim muzik pada kualiti studio. Menurut LG lagi, pementasan audio mereka adalah seakan di dunia nyata yang mana memimik pendengaran pembesar suara dengan vokal yang jelas.

Pemacu audio yang digunakan adalah jenis 6mm yang turut menjanjikan bass yang dalam, serta sesuai dengan pelbagai muzik. Walaupun tiada sokongan pembatalan hingar, silikon yang digunakan serta rekaan fon telinga adalah jenis close-fit yang memastikan bunyi hingar dihalang. TWS ini turut menyokong pengurangan hingar, membuang echo, dan sistem mikrofon yang boleh menangkap vokal.

LG TONE Free ini mempunyai perlindungan IPX4, bateri berterusan selama 6 jam dan 18 jam dengan pod pengecasan, 5 minit cas mampu bertahan selama 1 jam, serta menyokong tambatan pantas Fast Pair. Ia turut mempunyai aplikasi TONE Free, yang mana membenarkan pengguna membuat kawalan tamabahan seperti mengubah kawalan gestur sesentuh, euqalizer, mod ambient dan banyak lagi.

LG TONE Free dijual di Malaysia pada harga RM699 sahaja dan boleh didapatkan di mana-mana pengedar rasmi LG.



TIPS & ULASAN