Apabila Intel mengumumkan kehadiran siri CPU Intel Tiger Lake, mereka juga telah mengumumkan projek komputer riba ringan dan berkuasa terbaru mereka yang dinamakan Intel Evo Platform.
Lenovo ialah diantara jenama pembangun komputer yang bakal tiba dengan model ThinkPad terbaru dibawah platform ini, yang dinamakan Lenovo ThinkPad X1 Nano.

Komputer riba ini hadir dengan paparan 13 inci dengan resolusi 2K dan mempunyai berat 907g sahaja. Komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan siri CPU Intel Tiger Lake yang juga mempunyai cip grafik Intel Iris Xe terbaru dan juga sokongan untuk memori DDR4 dan storan SSD PCIe yang terbaru.
Diantara ciri-ciri tambahan yang hadir pada komputer riba ini termasuklah sokongan untuk Thunderbolt 4 dengan kadar penghantaran data 40Gbps dan WiFi6 yang menjanjikan kadar penghantaran data nirwayar sepantas 10Gbps.

Untuk mereka yang gemar menonton filem atau siri televisyen melalui perkhidmatan penstriman video, ThinkPad X1 Nano ini juga hadir dengan empat pembesar suara 360 darjah.
Dari segi jangkahayat bateri pula, Lenovo mengatakan bahawa komputer riba ini boleh bertahan selama 17.3 jam dengan satu pengecasan penuh.

Lenovo juga memberi fokus kepada keselamatan komputer riba ini dengan memperkenalkan beberapa sistem sekuriti seperti sistem biometrik dan pengesanan pemilik yang membolehkan sistem log masuk tanpa perlu menggunakan kata laluan.
Menurut Lenovo, komputer riba ThinkPad X1 Nano akan tiba di pasaran antarabangsa pada suku tahun terakhir tahun ini, dan akan dijual pada harga permulaan $1399 (~RM5600).