Lenovo ThinkPad X1 Fold – Komputer Riba Dengan Paparan Boleh-Lipat Pertama Di Dunia

Lenovo ThinkPad X1 Fold – Komputer Riba Dengan Paparan Boleh-Lipat Pertama Di Dunia

Diterbitkan pada Sep 29, 2020 oleh .

Jika sebelum ini dunia dikejutkan dengan peranti-peranti pintar boleh-lipat seperti Huawei Mate X, Samsung Galaxy Fold dan Royole Flexpai, kini tiba giliran Lenovo pula untuk memperkenalkan komputer riba dengan paparan boleh-lipat yang sebenar.

Peranti ini ialah Lenovo ThinkPad X1 Fold, dan bermula dengan spesifikasi paparan, ia hadir dengan paparan OLED 13.3 inci (2048×1536) yang boleh dilipat untuk menampakkan dua paparan bersaiz 9.6 inci.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, dan dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD PCIe 3.0 sebesar 1TB.

Sayangnya, tidak seperti peranti-peranti pintar yang kami katakan pada perenggan pertama, ThinkPad X1 Fold ini tidak hadir dengan sebarang cara untuk memisahkan paparan untuk penggunaan multi-screen selain daripada apa yang sudahpun tiba pada sistem operasi Windows 10.

Lenovo juga memperlihatkan aksesori-aksesori lain seperti papan kekunci dan tetikus yang boleh disambung kepada komputer riba ini jika anda tidak gemar menggunakan papan kekunci digital yang terbina didalam sistem operasi Windows 10.

Menariknya, selain daripada sokongan untuk teknologi-teknologi seperti Thunderbolt 4 dan WiFi6, ThinkPad X1 Fold ini juga hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G, dan ini adalah salah satu pilihan yang boleh didapati oleh pengguna jika diingini.

Dari segi jangka-hayat bateri, Lenovo ThinkPad X1 Fold hadir dengan bateri bersaiz 50Wh yang mampu menghidupkan komputer riba ini selama 11 jam dengan satu pengecasan penuh.

Menurut Lenovo, pra-tempah untuk ThinkPad X1 Fold ini akan dibuka untuk beberapa pasaran terpilih bermula hari ini pada harga permulaan $2499 (~RM10,000) dan akan mula dijual pada penghujung tahun ini.



TIPS & ULASAN