Cari @ Amanz

Selepas banyak informasi tertiris, akhirnya dua peranti Google Pixel yang baru dilancarkan – iaitu Pixel 4a 5G dan Pixel 5. Kedua-dua peranti ini adalah peranti kelas pertengahan yang mempunyai fokus tertentu. Google tidak lagi melancarkan peranti mercu atau menawarkan sensor gimik seperti sensor Soli pada Pixel 4.

Kedua-dua peranti jika dilihat kelihatan seakan sama sahaja. Ia menggunakan rekaan seakan Pxiel 4a dan penggunaan bezel hampir sekata. Dalaman juga adalah hampir sama, yang mana dijana Snapdragon 765G untuk prestasi yang seimbang serta sokongan 5G. Kemdudian adalah penawaran dwi-kamera, yang mana kini mempunyai lensa sudut ultra lebar. Pembesar suara stereo dikekalkan dan teknologi Google Camera hebat kembali lagi serta dilancarkan dengan Android 11. Tetapi apakah bezanya?

Google Pixel 4a 5G

Peranti ini menggunakan skrin OLED bersaiz 6.2-inci dengan kadar segar semula 60Hz, resolusi FHD+ dan menyokong paparan HDR. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 765G yang dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB UFS 2.1. Untuk kamera, Google menyertakan dwi-lensa 12.2MP utama dan 16MP sudut ultra lebar serta kamera swafoto 8MP.

Bateri adalah 3,885mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W, serta sistem sekuriti imbasan cap jari fizikal. Bahan binaan pula adalah plastik seakan Pixel 4a dan hanya ada satu warna dan variasi, iaitu hitam. Ia dijual pada harga $499, iaitu sekitar RM2,075.

Google Pixel 5

Peranti ini adalah lebih premium, dengan banyak ciri dan fungsi sesebuah peranti mercu – tetapi dimuatkan dalam peranti kelas pertengahan. Skrin yang digunakan adalah 6.0-inci OLED dengan resolusi FHD+, menyokong kadar segar semula 90Hz dan paparan HDR10+. Ia juga menggunakan kaca Gorilla Glass 6. Peranti ini turut dijana dengan cip pemproses Snapdragon 765G, tetapi memori adalah 8GB RAM dan storan dalaman pula 128GB – juga adalah jenis UFS 2.1.

Kamera pula adalah 12.2MP utama dengan 16MP sudut ultra lebar dan mempunyai kamera swafoto 8MP. Bateri yang digunakan adalah 4,080mAh dengan sistem pengecasan pantas 18W, sokongan pengecasan nirwayar serta pengecasan nirwayar berbalik. Peranti ini turut mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68. Peranti ini turut menggunakan sistem sekuriti imbasan cap jari fizikal di belakang, yang mana kembali lagi ke arah teknologi seperti Pixel 3.

Pixel 5 turut mengekalkan beberapa cip tambahan seperti cip sekuriti Titan M. Pixel 5 menggunakan bahan binaan logam dan kaca yang lebih premium dengan pilihan warna hitam dan juga hijau. Harga jualan adalah $699, iaitu sekitar RM2,906.


Melalui pelancaran kedua-dua peranti ini, Google turut memperkenalkan banyak kemaskini dari segi perisian. Antaranya adalah sokongan Screen Sharing untuk Google Duo, muat turun pantas pada YouTube dengan Smart Download serta sokongan Stadia. Dari segi kamera, kedua-dua peranti kini menyokong rakaman video 4K 60FPS, rakaman HDR+ bracketing, mod potret dengan sokongan Night Sight, mod Portrait Light seakan penuras cahaya potret pada iPhone.

Rakaman video selain dari 4K 60FPS, mod stabil kini ada tiga pilihan – iaitu Locked, Active atau Cinematic Pan. Kemudian, Google turut memperkenalkan mod penjimatan bateri baharu – Extreme Battery Saver yang boleh memfokuskan kepada aplikasi penting sementara yang lain dijeda dalam masa 48 jam. Bukan itu sahaja, Hold For Me turut diperkenalkan yang mana panggilan ke pusat perkhidmatan yang ada muzik menjengkelkan akan digantikan dengan paparan Google Assistant agar dan hanya selepas muzik tamat Google akan memberi peringatan yang panggilan sudah kembali.

Setiap pemilik Google Pixel 4a 5G dan Pixel 5, Google tawarkan 3 bulan langganan Stadia, YouTube Premium, 100GB Google One, Google Play Pass dan juga Google Play Points. Beberapa fungsi dan ciri baru pada Pixel 4a 5G dan Pixel 5 turut akan diedarkan kepada Pixel-Pixel generasi lama, melalui kemaskini Feature Drop.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd