Produk Chromecast adalah produk yang terkenal dari Google, yang mana kandungan dari telefon boleh dipaparkan pada skrin televisyen dengan mudah. Ia sudah hadir dengan banyak variasi dengan sistem tersendiri. Tetapi, sempena acara khusus Google malam ini – mereka telah lancarkan Chromecast with Google TV. Ia adalah dongel Chromecast dengan sistem Android TV yang dijenamakan kepada Google TV serta menyokong alat kawalan jauh.
Kod nama produk ini adalah Sabrina, yang mana adalah antara produk yang kerap tertiris serta mula dijual awal. Dongel ini menggunakan bentuk yang lebih kurang sama dengan produk sebelumnya. Ia dijana dengan cip pemprosesan Amlogic S905X2, GPU ARM Mali-G31, memori 2GB RAM dan storan dalaman 4GB. Ia menyokong penstriman 4K, paparan Dolby Vision, HDR10+, format video H.265, sistem audio DTSX dan juga Dolby Atmos.
Dongel ini menggunakan kuasa melalui USB-C dan turut mempunyai alat kawalan jauh dengan pelbagai butang untuk memudahkan lagi kawalan. Ia menjalankan sistem operasi Android TV berasaskan Android 10 yang diberi nama Google TV. Hadir dengan satu warna sahaja dengan harga jualan $49, iaitu sekitar RM204.
Seterusnya adalah Nest Audio, iaitu pembesar suara pintar terbaru Google – yang mana sebelum ini adalah Google Home. Nest Audio ini boleh dikatakan pengganti kepada Google Home, selepas bertahun lamanya ia tiada pengganti akhirnya versi baru dengan rekaan serba baru diperkenalkan.
Nest Audio ini turut meminjam rekaan seakan Google Home Max dengan bahan binaan seakan fabrik. Ia memfokuskan kepada 50% lebih bass, audio yang boleh berdentum dengan 75% lebih kuat. Google menawarkan warna Sage, Sky, Sand, Chalk dan Charcoal pada harga $99, iaitu sekitar RM411.