Carian
Fon Kepala Marshall Major IV Mempunyai Kemampuan Bateri Lebih 3 Hari
October 1, 2020 Effi Saharudin

Marshall Major IV telah dilancarkan pagi ini dengan kemampuan bateri sehingga 80 jam. Ini adalah peningkatan dari Major III yang sebelum ini mempunyai ketahanan sehingga 30 jam sahaja. Dengan fon kepala nirwayar ini masalah perlu mengecas dengan kerap boleh dilupakan.

Fon kepala Major IV boleh berfungsi secara nirwayar atau berwayar sekiranya perlu. Seperti kesemua produk audio mereka, Major IV hanya ditawarkan dalam warna hitam dengan logo syarikat berwarna putih. Sebuah tombol multi-fungsi terletak pada penutup telinga kanan untuk kawalan audio yang sedang didengari.

Satu lagi ciri unik yang diperkenalkan ialah sokongan pengecasan nirwayar secara terbina pada penutup telinga kanan. Jika anda ingin pengecasan lebih pantas ia masih boleh dilakukan secara berwayar menerusi port USB-C.

Tiada sistem pembatalan hingar disertakan tetapi dengan pemandu audio sebesar 40mm dan penutup telinga yang besar, bunyi dari luar akan dapat dihalang secara pasif. Sepasang Marshall Major IV ditawarkan pada harga $150 (~RM621).

Komen