Google TV adalah nama baru bagi Android TV. Walau bagaimanapun, Android TV masih kekal digunakan – kerana penggunaan Google TV terhad kepada produk-produk Google sahaja. Android TV akan kekal digunakan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2022. Sony dilaporkan adalah jenama luar pertama akan menggunakan Google TV kelak.
Beza paling ketara antara Google TV dan Android TV adalah antaramuka sahaja. Google TV menggunakan antaramuka atau sistem tambahan yang lebih pintar dengan integrasi Google Assistant yang lebih dalam dan tab siaran langsung dari YouTube TV. Peranti Android TV sedia ada akan layak menerima kemaskini Google TV ini. Tetapi sayang sekali, Google masih tidak maklumkan jenama apa dan apakah kelayakannya lagi. Kelak, Android TV akan turut menerima fungsi dan ciri Google TV – tetapi ia akan ditawarkan secara berperingkat tahun ke tahun.
Kebanyakan peranti Android TV, kemaskini dikawal oleh pengeluar bukannya Google. Jadi, Google tidak boleh mengawal apa yang pengeluar ingin tawarkan pada produk mereka. Disebabkan itu, Google TV dan Android TV akan wujud di antara satu sama lain dalam masa beberapa tahun. Pada hemat kami, Google TV kini boleh digelar sebagai stock Android dan Android TV sedia ada adalah versi untuk jenama pihak ketiga.