HP Reverb G2 Omnicept Diumumkan – Peranti Realiti Maya Yang Boleh Mengesan Pergerakan Mata, Riak Muka Dan Kadar Degupan Jantung
HP

HP Reverb G2 Omnicept Diumumkan – Peranti Realiti Maya Yang Boleh Mengesan Pergerakan Mata, Riak Muka Dan Kadar Degupan Jantung

Diterbitkan pada Okt 1, 2020 oleh .

HP Reverb G2 ialah peranti realiti maya yang diperkenalkan oleh HP pada pertengahan tahun ini, dan dibina bersama-sama dengan Valve sebagai sebuah peranti permainan komputer realiti maya yang premium.

Sambungan kepada itu, HP baru sahaja memperkenalkan HP Reverb G2 Omnicept Edition yang menengahkan beberapa ciri-ciri tambahan yang boleh digunakan bukan sahaja oleh peminat realiti maya, tetapi juga industri-industri lain seperti penerbangan dan sebagainya untuk menguji tahap prestasi dan tekanan pengguna.

Tidak banyak perbezaan yang dapat dilihat dari segi rekaan untuk kedua-dua peranti realiti maya ini. Ia masih lagi mempunyai paparan beresolusi 2160×2160 untuk setiap mata dengan lensa yang dibangunkan oleh Valve.

Bercakap mengenai sensor, HP Reverb G2 Omnicept ini hadir dengan beberapa sensor pengesanan baru, terutamanya pengesan mata Tobii yang pernah dilihat pada komputer-komputer riba gaming sebelum ini.

Bukan itu sahaja, peranti realiti maya ini hadir dengan kemampuan untuk menjejak pergerakan mata, perubahan riak wajah dan juga kadar degupan jantung.

HP mengatakan bahawa ciri-ciri ini ditambah ke peranti Reverb G2 Omnicept ini kerana mereka ingin menawarkan teknologi ini untuk syarikat-syarikat dan industri tertentu seperti perubatan dan penerbangan.

Ciri-ciri tambahan seperti penjejakan mata, muka dan kadar degupan jantung boleh digunakan untuk melihat tahap tekanan para pekerja apabila melakukan sesuatu pekerjaan, dan daripada itu, mereka boleh diberi nasihat untuk mengurangkan tahap tekanan tersebut.

HP juga telah memperkenalkan Omnicept SDK untuk membolehkan para pembangun membangunkan perisian khusus menggunakan peranti realiti maya ini.

Buat masa ini, HP masih belum mengumumkan lagi bilakah peranti ini akan mula dijual, mahupun tanda harganya.



TIPS & ULASAN