Cari @ Amanz

Impian mempunyai zuriat sendiri ialah antara kemahuan asas seseorang manusia. Tetapi rezeki di tangan tuhan dan nikmat mempunyai zuriat sendiri tidak dapat dinikmati semua. Bagi pesakit kanser pula, mereka mungkin mempunyai kemampuan mempunyai zuriat sendiri pada awalnya tetapi kemudiannya tahap kesuburan terjejas selepas sesi kemoterapi yang menjerihkan.

Rawatan kesuburan menerusi proses pembekuan tisu ovari (ovarian tissue cryopreservation) kini ditawarkan kepada pesakit kanser di Pusat Reproduksi Termaju (ARC), Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia. Ini ialah teknik rawatan kesuburan terbaru yang ditawarkan d ARC.

Menerusi teknik ini, sebahagian atau keseluruhan ovari akan dikeluarkan. Bahagian yang mengandungi telur yang belum matang iaitu oosit akan dibekukan sebelum digunakan untuk rawatan kesuburan di masa hadapan.

Kepada pesakit yang ingin melakukan prosedur OTC ini, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan rujukan pakar sebelum ke ARC. Ia turut perlu dilakukan sebelum menjalani rawatan kemoterapi. Sel yang dibekukan boleh disimpan sehingga 20 tahun. Setakat ini seramai tiga orang pesakit telah menjalani proses rawatan OTC dengan kos sekitar RM5000.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd