Google Pixel 5 adalah peranti “mercu” Google terbaru untuk tahun ini. Tetapi sebenarnya, ia hanyalah peranti utama mereka dan bukannya benar-benar peranti mercu. Pixel 5 hanyalah sebuah peranti kelas pertengahan premium. Berbeza dengan Pixel 4 tahun lepas yang memuatkan sensor radar Soli dan Motion Sense, Pixel 5 tiada sebarang sensor istimewa.
Ia menimbulkan persoalan, adakah sensor Soli hanya satu eksperimen yang gagal?
Menurut temuramah Rick Osterloh dengan The Verge, projek Soli adalah projek di bawah ATAP yang mana sentiasa berusaha melakukan ujian dan eksperimen – seperti mengecilkan sensor ini dan banyak lagi. Pixel 4 dan Pixel 4 XL adalah eksperimen bagaimana sensor ini diberikan kepada orang awam dan berfungsi. Ia akan diteruskan pada produk akan datang dan mungkin sekali lagi akan diperkenalkan pada telefon pintar.
Pixel 5 tidak menyertakan sensor ini kerana, sasaran produk tahun ini adalah harga mampu milik dan sensor ini terlampau mahal untuk disertakan sekali. Jadi melalui Pixel 4a 5G dan Pixel 5, ia adalah produk yang ingin membantu pengguna dari segi padanan perkakasan dan perisian yang baik pada harga murah.