10 Perkara Menarik Pada Pixel 4a 5G Dan Pixel 5

10 Perkara Menarik Pada Pixel 4a 5G Dan Pixel 5

Diterbitkan pada Okt 1, 2020 oleh .

Pixel 4a 5G dan Pixel 5 adalah peranti terbaru dari Google. Kedua-duanya adalah peranti kelas pertengahan dan Google tidak lagi hadir dengan peranti mercu. Jika anda keliru, apa bagusnya Pixel 5 dan Pixel 4a 5G? Adakah ianya gimik? Atau benar-benar bagus? Ini adalah perkara menarik yang kami temui pada peranti-peranti ini.

1. Akhirnya, Lensa Sudut Ultra Lebar Disertakan

Sudah bertahun lamanya peranti pesaing hadir dengan kamera lensa sudut ultra lebar, akhirnya pada Pixel 4a 5G dan Pixel 5 lensa ini disertakan. Tetapi ia menjadikan tanda tanya, apa jadi dengan lensa telefoto yang Google banggakan pada Pixel 4 tahun lepas? Selain dari mampu mengambil gambar dengan sudut pandangan yang lebih lebar, tekonolgi perisian Super Res Zoom pada lensa telefoto dikekalkan dalam lensa baru ini.

2. Mod Potret Kini Lebih Hebat

Mod potret pada peranti Pixel, sentiasa yang paling hebat dan cantik. Sehingga hari ini, tiada peranti pesaing mampu menandingi Google dalam imej potret kesan bokeh sehebat Pixel. Melalui dua peranti baru Pixel ini, Google memperkenalkan Portrait Light. Ia adalah penuras cahaya, yang boleh mencantikkan lagi hasil imej potret pengguna. Penuras seperti ini telah digunakan pada iPhone dan banyak peranti pesaing bertahun lamanya. Cuma baru tahun ini, Google tawarkan untuk peranti mereka.

3. Night Sight Kini Hadir Dalam Mod Potret

Mod malam pada Pixel, iaitu Night Sight juga antara yang terhebat. Kini, Google sertakan mod malam ini dalam mod potret – bagi membolehkan pengguna merakam imej potret cantik di waktu malam.

4. Rakaman Video 4K 60FPS

Ramai yang bising pada Google, kenapa kamera mereka tidak mampu merakam video 4K 60FPS. Alasan Google adalah bagi menjimatkan storan dan menjimatkan penggunaan bateri. Kini, bateri Pixel 5 sudah mencapai lebih 4000mah – mod ini akhirnya disertakan.

5. Mod Stabil Pada Video Kini Pintar

Bercakap tadi mengenai rakaman video, Google kini memperkenalkan mod penstabilan video pintar yang boleh merakam seakan filem Hollywood. Menariknya, teknologi ini adalah dari perisian sahaja. Terdapat tiga jenis penstabilan boleh dipilih iaitu Locked, Active dan Cinematic Pan. Melalui mod ini, rakaman video akan lebih kreatif, cantik dan menawan.

6. Menyokong Rangkaian 5G

Kedua-dua peranti Pixel ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 765G. Ia bukan sahaja menawarkan CPU dan GPU yang hebat. Tetapi turut menyokong rangkaian 5G, yang menjamin masa muat turun di YouTube lebih pantas, panggilan video Google Duo dengan sokongan Screen Sharing pada resolusi HD, boleh main Stadia dengan kualiti baik serta kestabilan penggunaan data mudah alih.

7. Mod Penjimatan Bateri 48 Jam

Bagi yang pernah menggunakan peranti Pixel, anda pasti tahu bateri peranti ini biasanya lemah. Pixel 5 adalah peranti Pixel pertama dengan kapasiti bateri mencapai lebih empat ribu mAh, iaitu 4,080mAh. Bagi memastikan ketahanan bateri ini berpanjangan, kedua-dua Pixel ini menyokong Extreme Battery Saver, iaitu mod penjimatan bateri yang boleh berikan tambahan 48 jam ketahanan dengan fungsi yang terhad.

8. Pengecasan Nirwayar & Nirwayar Berbalik

Khusus untuk Pixel 5 sahaja, ia kini menyokong sistem pengecasan nirwayar. Mungkin ini bukan perkara besar, kerana Pixel 3 dan Pixel 4 sudah pun ada. Tetapi, Pixel 5 adalah peranti kelas pertengahan – jadi ini adalah agak menarik untuk peranti kelas ini menyokong sistem pengecasan ini. Bukan itu sahaja, ia turut menyokong pengecasan nirwayar berbalik bagi memudahkan pengecasan Pixel Buds.

9. Tiada Lagi Storan 64GB

Pixel 5 walaupun adalah peranti kelas pertengahan, ia masih dikira sebagai peranti mercu Google tahun 2020 – atau peranti utama mereka. Apa yang menarik adalah, kini tiada lagi pilihan storan 64GB. Ini adalah perkara baik, kerana 64GB adalah saiz storan yang amat rendah untuk sesebuah peranti pada tahun 2020.

10. Kekal Dengan Sokongan Kemaskini 3 Generasi Android

Ini bermakna, Pixel 5 dan Pixel 4a 5G akan menerima sokongan perisian sehingga Android 14. Kedua-dua peranti ini dilancarkan dengan Android 11, jadi untuk sokongan tiga generasi kemaskini sistem oeprasi – ini akan menjadikan peranti ini bertahan lama. Tidak lupa juga yang, Google turut akan berikan kemaskini tampalan sekuriti bulanan sehingga tamat hayat peranti ini.


Apa kata anda mengenai perkara-perkara ini? Adakah kedua-dua peranti ini menarik pada anda, atau hambar?


TIPS & ULASAN