Realme Malaysia hari ini dilihat berkongsi sebuah entri di laman Facebook rasminya yang memaparkan sebuah imej penggoda untuk sebuah acara pelancaran yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan, 5 Oktober 2020. Tapi, sayangnya entri berkenaan dilihat tidak pula mendedahkan sebarang butiran mengenai produk yang bakal dilancarkan.

Sebaliknya, imej tersebut hanya memperlihatkan slogan “Smart Care Is Now“ bersama latar belakang berwarna biru. Turut kelihatan tulisan “Realme Personal Care Series Launch“ yang memberi gambaran kasar ianya berkemungkinan besar terdiri daripada produk penjagaan diri. Namun begitu, jangan buat penilaian terlalu awal kerana ia masih satu spekulasi dan segala mengenainya bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak.
Menyentuh mengenai produk penjagaan diri, ia mengingatkan kami yang mana Realme pernah muncul dengan berus gigi keluarannya. Dikenali sebagai Realme M1 Sonic Electric Toothbrush , ia telah dilancarkan di India sebelum ini. Berus gigi ini dikuasakan oleh motor sonik canggih dari LEBOND, dilengkapi bulu Dupont yang anti-bakteria dan bateri 800 mAh yang didakwa bertahan selama 90 hari. Ia beropeasi dalam empat mod pembersihan – mod lembut, mod bersih, mod putih dan mod penggilap.