Walaupun sekilas pandang kedua-dua peranti Pixel 5 dan Pixel 4a 5G yang baru dilancarkan semalam nampak menarik, ada kekurangannya. Kami juga keliru, kenapa sehingga tiga peranti kelas pertengahan tahun ini dan kenapa tiada peranti mercu? Jadi, berikut adalah perkara-perkara yang mengecewakan pada kedua-dua peranti ini.
1. Masih Dwi-Kamera
Sudah 10 peranti Pixel hadir di pasaran, dengan tambahan Pixel 4a 5G dan Pixel 5 – ia menjadikan sudah ada 12 peranti Pixel. Tetapi, peranti terbaru mereka ini masih menggunakan dwi-kamera. Sedangkan peranti pesaing walaupun dalam kelas yang sama, seperti OnePlus Nord ada kuad-kamera. Harga sudahlah mahal, tetapi kedekut kamera. Memang benar, Google semuanya mengenai perisian dan bukannya perkakasan. Tetapi rasanya perisian juga ada batasnya.
2. Tiada Lagi Teknologi Menarik
Semasa Pixel 4 dan Pixel 4 XL, Google memperkenalkan sensor radar – iaitu Soli. Tahun ini pada peranti utama mereka, iaitu Pixel 5 tiada lagi sensor menarik atau inovasi. Ia hanyalah sebuah peranti kelas pertengahan yang mahal. Jelas di sini, Google hanya membuat eksperimen sahaja dan teknologi mereka belum matang.
3. Masih Tiada Pengimbas Cap jari Bawah Skrin
Dalam Pixel 4 dan 4 XL, sensor Soli turut mempunyai fungsi Motion Sense iaitu kemampuan kawalan genstur dan juga nyahkunci imbasan wajah seakan Face ID dari Apple. Pixel 4a 5G dan Pixel 5, kembali ke teknologi kuno – iaitu imbasan jari di panel belakang peranti. Sekali lagi, peranti pesaing yang lebih murah, turut gunakan teknologi terkini. Apalah salahnya sertakan imbasan jari bawah skrin.
4. Bukan Lagi Peranti Mercu
Paling kecewa adalah Pixel 5, Google ge;arkan ia sebagai peranti mercu mereka. Sedangkan peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 765G sahaja. Tahun ini, tiada peranti mercu sebenar Google yang dijana cip Snapdragon 865/865+. Tetapi harga jualan adalah setaraf Samsung Galaxy S20 FE, bagi Pixel 5.
5. Pixel 5 Tiada Bicu Audio 3.5mm
Bercakap mengenai Pixel 5, peranti ini turut tidak mempunyai port bicu audio 3.5mm. Sedangkan Pixel 4a dan 4a 5G ada, kenapa tidak seragamkan sahaja dengan kejap ada dan kejap tiada. Sedangkan kesemua peranti Pixel tahun 2020 berada dalam kelas yang sama.
7. Terhad Kepada 128GB Dan Tiada MicroSD
Walaupun sudah bagus tiada pilihan 64GB. Variasi peranti-peranti Pixel baru terhad dengan 128GB sahaja. Sekurang-kurangnya tawarkan pilihan sehingga 256GB atau sertakan sokongan microSD. Sudahlah kamera mula fokus kepada rakaman video 4K 60FPS dengan kemampuan penstabilan yang baik. 128GB tidak cukup untuk video 4K.
6. Skrin Terhad Ke FHD+ Sahaja
Pixel 5 tahun ini hanya berseorangan sahaja dan tiada abang dengan versi XL. Ini menjadikan peranti Pixel tahun ini semuanya menggunakan skrin FHD+ dan tiada lagi resolusi tinggi sehingga 1440 x 3040 pixel. Jika sudah tidak tawarkan saiz besar dan sudah jual pada harga mahal, alang-alang gunakan sahaja panel skrin yang lebih bagus. Bateri juga sudah besar, sepatutnya tiada alasan lagi.
8. Harga Pixel 5 Terlampau Mahal
Pixel 5 adalah peranti kelas pertengahan, tetapi dijual pada harga $699, iaitu sekitar RM2900. Set import mula dijual pada harga mencapai RM3,500 ke atas. Ini menjadikan peranti ini adalah peranti kelas pertengahan Android yang terlampau mahal yang tidak sedar diri, ia berada dalam kelas apa.
9. Kuasa Pengecasan Terhad Kepada 18W
Sudah bertahun lamanya, iaitu sejak 2016 lagi Google menggunakan sistem pengecasan pantas USB-PD. Tahun 2020, juga masih teknologi sama dan kekal 18W. Sekurang-kurangnya tawarkan juga 30W seperti peranti pesaing. Yang penting ia menggunakan piawaian USB-PD. 18W adalah terlampau perlahan dan akan menyusahkan pengguna di saat kecemasan.
10. Masih Tidak Dijual Di Malaysia
Peranti Pixel sentiasa mahal di Malaysia kerana dijual secara tidak rasmi, iaitu import. Sehingga hari ini, sudah ada 12 peranti Pixel dan satu pun tidak pernah dijual di Malaysia secara rasmi lagi. Di Malaysia, walaupun mahal – masih ada peminat yang ingin gunakan peranti ini dan rasanya ramai akan bersyukur jika ada pilihan membeli Pixel secara rasmi.
Banyak juga perkara yang mengecewakan ini. Membuatkan kami tertanya-tanya, apa strategi Google sebenarnya dan kenapa mereka lakukan seperti ini? Apa-apa pun, adakah anda setuju dengan pendapat kami ini? Atau pada hemat anda, ini bukannya kecewa pun – tetapi biasa-biasa sahaja?