Baru-baru ini, Google telah melancarkan Google TV – iaitu sistem operasi untuk televisyen pintar. Ia adalah Android TV serba baru, yang mana dijalankan pada Chromecast terkini – iaitu Chromecast with Google TV. Sistem operasi ini turut akan digunakan pada produk-produk Chromecast akan datang dan hanya menjelang 2022, barulah ia akan dikemaskini dan digunakan pada produk pihak ketiga.
Menurut Android Police, “Google TV” hanyalah satu pelancar sahaja yang mana dipasang di atas Android TV bagi mengaktifkan ciri, fungsi dan antaramuka baru. Aplikasi ini sudah pun diterbitkan di Play Store, yang mana mungkin untuk memudahkan proses kemaskini di masa akan datang. Aplikasi pelancar Google TV ini menggunakan ikon yang sama dengan Android TV Home, tetapi fail APK tidak mempunyai sebarang perubahan atau fungsi jika dipasang pada Android TV.
Jadi, besar kemungkinan – Google TV adalah pelancar yang sama dengan Android TV. Cuma ia mungkin mempunyai kod untuk mencari indikasi produk Chromecast dan Android 10. Kerana fail APK masih boleh dipasang tanpa sebarang halangan. Mungkin disebabkan ia masih lagi pelancar dan bukan sistem penuh, membuatkan Google memerlukan sehingga tahun 2022 untuk edarkan kemaskini kepada produk Android TV lain.