Carian
Telegram Kini Memudahkan Pengguna Membuat Carian Mengikut Jenis Media
October 2, 2020 Amy Maizuraa

Tidak dapat dinafikan, masih ramai juga antara kita yang gemar menggunakan aplikasi Telegram untuk berinteraksi antara satu sama lain. Terutamanya, apabila ia melibatkan satu kumpulan yang besar. Dalam perkembangan terkini, Telegram dilihat telah mengemaskini aplikasinya dengan sejumlah fungsi baharu.

Antaranya, fungsi carian yang dikemaskini dengan tapisan mengikut jenis media. Terdapat enam kategori berbeza yang tersedia – termasuklah gambar, pautan, dokumen, audio, teks dan sebagainya. Melaluinya, pengguna kini lebih mudah untuk membuat sebarang carian mesej mengikut jenis media yang dikongsi dan hanya mesej tertentu sahaja yang akan dipaparkan. Sekadar selingan, ini adalah konsep sama yang dijuji oleh WhatsApp Beta sebelum ini.

Seterusnya, Telegram turut menambah fungsi komen pada sesebuah hantaran dalam saluran bagi memudahkan perbincangan secara berkumpulan. Ia tidak sekadar terhad pada teks, pengguna juga boleh menghantar GIF, audio, pelekat dan banyak lagi pada ruangan komen berkenaan. Pada masa sama, pentadbir saluran juga boleh mengawal komen pada saluran tersebut untuk menjada privasi setiap ahli kumpulan.

Dalam pada itu, Telegram turut hadir dengan sejumlah lagi kemaskini lain termasuklah ciri pentadbir kumpulan awanama, penambahan animasi serta emoji yang lebih baik dan sebagainya.

Komen