Cari @ Amanz

Dengan pengumuman siri CPU Intel generasi ke-11, Tiger Lake, banyak jenama-jenama pembuat komputer riba mula mengumumkan kemaskini untuk pelbagai komputer riba mereka, khususnya untuk projek komputer riba terbaru Intel, iaitu Intel Evo.

HP hari ini telah mengumumkan bahawa siri komputer riba HP Envy mereka, yang juga termasuk HP Envy 13 dan HP Envy x360 13 telah dikemaskini dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake yang juga dilengkapi cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe terbina.

Bermula dengan HP Envy 13, ia dilengkapi dengan paparan IPS boleh-sentuh bersaiz 13.3 inci dengan resolusi Full HD dengan kecerahan setinggi 400nit.

Ia dikuasakan dengan pilihan CPU sehingga model Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 256GB.

Dari segi I/O, ia dilengkapi dengan palam-palam baru seperti satu palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A dengan kebolehan mengecas peranti, satu palam USB 3.2 Type A biasa, satu pembaca kad microSD dan palam audio 3.5mm.

Rekaan komputer riba ini juga boleh dikatakan nipis dan ringan, dengan berat 1.3kg sahaja dan ketebalan peranti pada 14.7mm. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Silver ataupun Wood, dan akan dijual pada bulan Oktober di pasaran terpilih pada harga permulaan $900 (~RM3600).

HP Envy x360 14 pula ialah komputer riba boleh-lipat HP yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai sebuah komputer riba tradisional, tetapi sebagai sebuah tablet juga.

Ia dilengkapi paparan OLED boleh-sentuh 13.5 inci yang mempunyai nisbah aspek 3:2 dengan resolusi 3000×2000. Sama seperti HP Envy 13. ia mempunyai kecerahan paparan setinggi 400 nit.

Dari segi spesifikasi dalaman, ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi ke-11 sehingga Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe sebesar 512GB.

Dari segi palam I/O, ia dilengkapi dengan dua palam USB-C Thunderbolt 4 satu palam USB 3.1 Type-A. satu pembaca kad microSD. Ia juga dimuatkan dengan sebuah pena stylus aktif yang boleh digunakan untuk menulis ataupun melukis pada paparan peranti ini.

HP juga mengatakan bahawa jangka-hayat HP Envy x360 14 ini adalah selama 17 jam dengan satu pengecasan penuh. Ia akan mula dijual pada bulan Oktober pada harga permulaan $1200 (~RM4800).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd