Cari @ Amanz

Live View pada Google Maps telah diperkenalkan sebelum ini dengan keupayaan untuk panduan selok-belok secara visual melalui teknologi realiti terimbuh (AR) dan pembelajaran mesin. Terkini, Live View telah ditambah baik dengan sejumlah ciri terbaru bersama kemampuan petunjuk lokasi lebih tepat untuk tujuan navigasi yang mudah.

Melalui kemas kini terbaru ini, fungsi Live View kini menunjukkan panduan mercu tanda berdekatan. Ia akan menunjukkan mercu tanda berdekatan bagi membantu pengguna mendapat gambaran jelas mengenai lokasi dan persekitaran mereka. Ia termasuklah jarak di antara pengguna dengan mercu tanda tersebut, selain arah tuju yang perlu diikut sekiranya pengguna ingin menuju ke lokasi.

Seterusnya, pengguna juga boleh mengakses fungsi Live View secara terus daripada tab transit di Google Maps untuk mencari jalan – ini sangat berguna untuk mereka yang sering menggunakan pengangkutan awam. Pada masa sama, fungsi perkongsian lokasi menerusi Live View kini tidak lagi terhad pada peranti Pixel semata. Sebaliknya, ia juga akan diperluaskan kepada semua pengguna Android dan iOS di seluruh dunia. Akhir sekali, Google juga telah meningkatkan pengalaman pin lokasi yang lebih tepat pada fungsi ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd