Cari @ Amanz

Xiaomi tahun ini ada banyak peranti mercu. Bermula dengan siri Mi 10, kemudian beralih ke Poco F2 Pro dan terkini siri Mi 10T pula. Terdapat banyak pilihan, siri Mi 10 memfokuskan kamera, prestasi dan adalah peranti premium. Poco pula memfokuskan keseimbangan secara keseluruhan. Tetapi, yang mana satu peranti mercu terbaik untuk anda? Di Amanz, kami juga keliru kerana terlampau banyak pilihan peranti mercu dan apabila kerap bertukar-tukar peranti – sukar untuk memilih yang mana benar-benar sesuai untuk diri.

Kami telah menggunakan Mi 10T Pro untuk beberapa minggu. Apa yang kami boleh katakan, ini adalah peranti mercu yang terbaik. Bukan sahaja dari segi prestasi, skrin LCD juga antara yang terbaik. Harga jualan yang tidak begitu mahal serta kemampuan fotografi yang hebat. Ini adalah artikel ulasan kami untuk peranti ini. Untuk ketahui lebih lanjut, adakah ini peranti untuk anda – sila baca sehingga perenggan akhir.


Spesifikasi Dan Rekaan

Paparan 6.67″ LCD, FHD+, HDR10, 144Hz
PemprosesSnapdragon 865 7nm
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama108 MP, f/1.7, (utama)
13 MP, f/2.4, 123 darjah (sudut ultra lebar)
5 MP, f/2.4, (makro)
Kamera Depan20 MP, f/2.2
Bateri5000mAh
(Pengecasan pantas 33W)
Sim /Telefoni/NFCDwi SIM Nano, Ada
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Fizikal
Harga JualanBermula dari RM1,999

Jika tahun lepas ada siri Mi 9T, tahun ini Mi 10T adalah pengganti. Tetapi berbeza dengan generasi sebelumnya yang hanyalah peranti Redmi dijenamakan semula. Siri Mi 10T menggunakan rekaan tersendiri dan adalah sebuah peranti yang asli. Panel belakang peranti ini kelihatan seakan sebuah Mi 10 Pro, yang mana menggunakan panel berkilat yang diperbuat dari kaca. Serta menggunakan kemasan yang licin yang turut mudah menangkap kotoran cap jari dan minyak. Paling menjengkelkan adalah bonjol kamera yang tebal dan tinggi. Susun atur kamera juga agak pelik dan bukanlah rekaan yang kemas pada hemat kami.

Di bahagian hadapan adalah ringkas sahaja, tiada yang unik. Ia menggunakan rekaan hampir nirbingkai dengan bezel yang sekata, tetapi dagu yang sedikit tebal. Skrin pula adalah jenis berlubang yang mana memuatkan lensa kamera swafoto. Di sisi kiri tiada apa-apa, di sisi kanan adalah butang aras suara dan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di bawah pula terdapat slot kad SIM, lubang mikrofon, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Di atas pula hanyalah lubang mikrofon dan satu sensor infra merah.

Skrin menggunakan saiz yang sama seperti Poco X3, iaitu 6.67-inci. Tetapi ia mempunyai sokongan kadar segar semula boleh suai AdaptiveSync 144Hz. Resolusi terhad kepada FHD+ sahaja, tetapi dengan sokongan HDR10 ia mampu memaparkan imej yang baik sekali. Panel LCD yang digunakan membuatkan kami rasa teruja kerana jarang kami temui peranti mercu dengan skrin LCD secantik Mi 10T Pro.

Warna yang dipaparkan adalah cantik, tajam serta mempunyai kecerahan yang baik sekali. Tidak kira menonton video di YouTube atau Netflix, ia tetap akan memaparkan kualiti paparan yang sangat baik dan memuaskan. Kecerahan pula adalah yang paling baik sekali. Peranti ini menggunakan sensor ambien dan juga sensor tambahan khusus untuk cahaya, yang mana boleh menetapkan kecerahan skrin yang lebih baik.

Kemudian, sokongan kadar segar semula 144Hz juga adalah antara yang terbaik dalam peranti mercu. Ini kerana, ia menyokong mod boleh-suai AdaptiveSync yang mana menetapkan kadar segar semula selaras dengan kandungan. Ini membolehkan penggunaan skrin lebih baik dan efisien. Mod ini turut memberi ketahanan bateri tambahan 8%.

Prestasi

Cip pemprosesan dan penggunaan memori jujur kami katakan, agak kecewa kerana hanya Snapdragon 865 biasa sahaja bukannya 865+. Kemudian memori juga terhad kepada 8GB RAM, yang mana adalah pilihan yang rendah untuk peranti mercu. Tetapi syukur, tiada langsung masalah prestasi dengan peranti ini. Ia mampu beroperasi dengan lancar dan pantas. Bukan sahaja kerana bantuan dari skrin kadar segar semula, tetapi turut kerana penggunaan peralihan animasi MIUI 12 yang lebih ringkas.

Ia menjadikan peranti ini tiada langsung masalah dalam membuka, menutup aplikasi yang banyak atau juga bertukar-tukar antara aplikasi. Mod multi tugasan juga adalah antara yang baik sekali, melalui sokongan tetingkap terapung yang pada hemat kami adalah lebih bagus. Ketika menonton video YouTube dan menerima notifikasi WhatsApp, tekan sahaja notifikasi tersebut dan tetingkap terapung kecil akan terpapar. Selesai membalas, ia akan mengecil dan terapung di sisi atas. Tetingkap ini turut kekal aktif dan anda boleh lihat mesej masuk dengan mudah.

Bermain permua juga langsung tiada masalah, kerana ia membolehkan peranti ini bermain permua pada tetapan yang paling tinggi. COD Mobile atau PUBG Mobile semuanya baik sekali. Grafik dipaparkan dengan baik serta memberikan pengalaman bermain yang lebih mengasyikkan. PUBG Mobile turut menyokong tidak balas getaran yang menarik ketika bermain. Masalah bermain permua pada peranti ini bukan pada lengah masa, tetapi isu memanas. Peranti ini ada masalah dari mengendali suhu, yang mana menjadikan penggunaan peranti ini terhad jika ia mula memanas.

Syukur, isu panas pada peranti ini tidak begitu serius dan ia akan mula sejuk kembali dalam tempoh yang singkat. Secara keseluruhan, isu paling besar pada prestasi peranti adalah dari suhu sahaja dan lain-lain akan memberikan pengalaman yang baik sekali.

Skor Tanda Aras

Skor tanda aras untuk peranti ini adalah apa yang anda lihat dalam sebuah peranti yang dijana Snapdragon 865 dengan memori 8GB RAM. Kami menggunakan AnTuTu, Geekbench dan juga Don’t Kill My App. Tiada skor yang mengejutkan pun, tetapi pengurusan memori dan aplikasi latar adalah paling mengecewakan.

Don’t Kill My App adalah ujian tanda aras untuk mengenalpasti sama ada sesebuah peranti itu mempunyai masalah pengurusan memori atau tidak. Lebih spesifik, ia adalah untuk menguji kemampuan aplikasi yang berjalan di latar. Jika nilainya menghampiri 100%, bermakna ia mempunyai pengurusan memori yang baik dan sepatutnya tiada masalah dalam mengendalikan aplikasi yang berjalan di latar. Peranti ini hanya menerima skor 44%. Ini menjadikan peranti ini ada masalah jika ingin membuka semula aplikasi. Aplikasi yang dibuka semula akan kerap memuat semula.

Skor AnTuTu adalah 577,190 yang mana adalah skor yang memang kami jangka untuk peranti seperti ini. Skor Geekbench pula adalah 908 untuk satu teras dan 3,272 untuk multi-teras. Skor Geekbench dilihat agak tinggi dan hebat.

Perisian

peranti mercu atau peranti Xiaomi yang lebih baru akan menggunakan MIUI 12 dengan rekaan antaramuka mirip MIUI 12 versi China. Peranti lama Xiaomi pula atau MIUI for Poco, MIUI 12nya adalah mirip MIUI 11 sahaja tetapi dengan fungsi dan ciri MIUI 12. Kami tidak pasti kenapa perkara seperti ini berlaku. Cuma pada Mi 10T Pro pengalaman penggunaan adalah lebih menarik.

Seperti kebanyakan fungsi dan ciri yang hadir dalam MIUI 12, anda tidak akan rasa bosan dengan Mi 10T Pro. Kerana apa yang anda lihat dalam video promo atau iklan, itulah yang anda dapat. Perisian pada peranti ini serba lengkap dengan antaramuka yang baik, sesuai untuk pengguna global, serta lebih matang dan stabil.

Tiada lagi masalah notifikasi MIUI pada peranti ini, ia berfungsi dengan baik sekali. Cara penggunaan juga adalah lebih menarik, walaupun ia masih lagi Android 10 ia kelihatan selangkah di hadapan kerana kemampuan kustomasi yang gila banyak. Disebabkan ia adalah peranti dengan skrin LCD, fungsi AOD tidak akan disediakan dalam peranti ini. Lain-lain adalah seperti mana anda lihat dalam Mi 10 atau peranti Xiaomi terbaru yang lain.

Paling menjengkelkan adalah, MIUI 12 masih dipenuhi dengan pelbagai iklan. Iklan yang terpapar dalam peranti ini semuanya menjengkelkan dan mengganggu. Bayangkan, memasang aplikasi dari Play Store juga akan ada iklan. Bukan aplikasi sekuriti juga akan ada iklan. Memang benar, iklan semua boleh dimatikan – tetapi ia adalah satu perkara yang tidak sepatutnya diletakkan dalam peranti.

Semasa pelancaran peranti ini, Xiaomi tidak menyebut mengenai kemaskini 3 tahun seperti Poco X3. Tetapi mengenali Xiaomi, peranti mercu tidak akan terkecuali dengan kemaskini terbaru yang mana akan datang adalah MIUI 13. Kemudian, seperti biasa Xiaomi lebih memfokuskan kepada MIUI berbanding asas sistem operasi. Ini bermakna, tidak kira Android 10 atau Android 11 – kelak jika MIUI 13 sudah tiba semua fungsi dan ciri adalah lebih kurang sama.

Kamera

Seperti mana-mana peranti Xiaomi, Redmi atau Poco, aplikasi kamera adalah MIUI Camera yang mana memberi kebebasan pengguna dari kawalan dan juga kustomasi tema dan bunyi dalam kamera. Kamera ini menggunakan tetapan tri-kamera sahaja, iaitu 108MP lensa utama + 13MP lensa sudut ultra lebar + 5MP lensa makro. Kamera swafoto pula adalah 20MP.

108MP
Semua Lensa + 10x Zum
Potret
Makro
Kamera utama, auto
Mod malam

Kualiti kamera pada MI 10T Pro adalah hebat sekali. Ia berada di luar jangkaan kami, yang mana jelas di sini Xiaomi akhirnya sedar perkara yang patut mereka baiki. Tidak kira dari video atau foto, semuanya adalah lebih baik. Walaupun tidak sehebat Mi 10 Ultra, tetapi Mi 10T Pro mempunyai kualiti kamera sehebat sebuah peranti mercu. Hasilnya adalah hebat, cukup terang, warna yang tajam serta butiran yang dipelihara dengan baik sekali.

Mod malam

Tidak kira apa jua mod yang digunakan, hasilnya memuaskan. Xiaomi kali ini lebih fokus kepada perisian, seperti lebih banyak mod penuras, mod-mod lucu dan juga suntingan kecerdasan buatan. Mod malam juga dilihat lebih baik. Tetapi hanya akan ada fungsi jika ia benar-benar gelap dan jika masih ada cahaya, mod auto sahaja sudah memadai.

Ini pula adalah sampel untuk mod-mod yang unik, seperti penuras Cyberpunk dan Black Ice. Kemudian turut mempunyai mod langit, yang mana – mana-mana imej yang ada langit/awan ia boleh diubah menjadi video dan juga jenis langit.

Goldvibe, Cyberpunk

Kamera swafoto juga cantik dan kemas. Tetapi jelas sekali ada mod kecantikan yang telah diaplikasikan. Walaupun mod ini sudah dimatikan, hasil lembut itu masih kelihatan. Butiran dilihat baik sahaja dengan penggunaan warna yang menarik.

Swafoto

Mod makro juga dilihat baik dan jelas. Fokus pada peranti ini lebih pantas dan mudah memfokuskan sesuatu objek ketika merakam video atau ambil gambar. Tetapi, hingar masih kelihatan sedikit yang mana jelas melalui pasca-proses yang serius kerana hingar itu dikaburkan.

Video pula, ia mampu merakam resolusi 8K yang dioptimasikan dengan kecerdasan buatan. Hasilnya mengejutkan adalah baik sekali, dari segi fokus, warna dan juga kestabilan. Audio juga dilihat lebih baik, yang mana amat membantu jika merakam video swafoto untuk vlog atau kongsi media sosial.

Walaupun begitu, kamera Mi 10T Pro masih tidak sempurna atau yang terbaik. Ia cuma sebuah lagi peranti mercu dengan kehebatan kamera yang anda jangkakan.

Audio

Pembesar suara yang digunakan adalah jenis stereo. Satu di bawah dan satu lagi di bahagian earpiece. Dengan ketiadaan port bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo adalah baik sekali untuk penggunaan dalam jangka masa pendek. Apa yang kami tidak gemar dengan pembesar suara peranti ini adalah, ia tidak cukup kuat dan lantang. Walaupun sudah ditetapkan pada aras suara maksima, ia biasa sahaja.

Kualiti audio adalah baik sekali, yang mana bukan berada di tahap yang mengecewakan. Ia lebih kepada flat dan tidak begitu fokus kepada bass. Mendengar 2-3 muzik sudah mencukupi atau menonton video pendek akan membuatkan rasa puas hati. Untuk menonton filem, lebih baik gunakan TWS atau aksesori audio lain bagi pengalaman yang lebih memuaskan.

GPS Dan Telefoni

Panggilan telefon pada peranti ini memang baik sekali. Penerima akan katakan suara begitu jelas, tiada bunyi desis atau gangguan. Menjadikan pengalaman panggilan telefon adalah selesa dan tidak menjadi masalah jika ada panggilan telefon penting yang memakan masa yang lama. Data mudah alih juga tiada masalah, di kawasan yang kerap putus-putus H+ ke 4G, peranti tiada masalah untuk kekalkan rangkaian 4G sentiasa.

GPS juga memeranjatkan peranti ini mampu mengunci lokasi dengan baik dan laju sekali. Kami menguji pada Google Maps sahaja, yang mana perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban memaparkan arah selok-belok yang mudah dilihat, tiada masalah rangkaian serta akan melancarkan lagi perjalanan.

Bateri

5000mAh adalah kapasiti bateri yang agak besar untuk sebuah peranti mercu. Ini menjadikan saiz peranti sedikit tebal dan berat. Tetapi syukur saiz bateri besar ini bukan gimik dan mampu memberi jangka hayat yang cukup panjang. Seperti biasa, di makmal Amanz kami akan hidupkan hampir kesemua tetapan berkaitan dengan rangkaian. Ini kerana ia akan memudahkan lagi tugasan kami. Untuk penggunaan harian biasa yang ringkas – ia mampu memberikan ketahanan sekitar 6-7 jam SOT untuk skrin 144Hz.

Jelas di sini, AdaptiveSync membantu mengoptimasikan penggunaan skrin kadar segar semula dengan baik sekali. Walaupu sukar untuk bezakan bilakh mod boleh-suai ini mula ditetapkan, tetapi jika anda cari ia jelas ada bezanya. Tetapi jika gunakan peranti seperti biasa, ia tidak menjadi masalah dan akan rasa sentiasa lancar.

Penggunaan ekstrem pula, seperti banyak permua dan menstrim – ia hanya mencapai sekitar 4-5 jam SOT. Malah kami dapat rasakan yang jika anda hanya hidupkan apa yang perlu, mod 90Hz sahaja dan dengan mod penjimatan, peranti ini kami yakin tiada masalah untuk menerima jangka hayat bateri mencapai 10 jam SOT.

Sistem pengecasan pantas yang digunakan adalah 33W USB-A ke USB-C. Xiaomi menggunakan teknik pengecasan MMT (Middle Middle Tab) yang mana aliran pengecasan adalah dari tengah dan secara serentak mengecah keselurhan bateri denagn lebih efisien, pantas serta kesihatan baterui terjamin.

Xiaomi menjamin pengecasan bateri 5000mAh ini adalah kurang 1 jam (59 minit). Tetapi dalam percubaan kami, jika peranti mula panas ia mengecas lebih dari 1 jam.

Pesaing

OnePlus 8Mi 10T ProSamsung Galaxy S20 FE
6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz (402 PPI)6.67″ IPS LCD, 1080 x 2400, 144Hz (395 PPI)6.5″ Super AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz (407 PPI)
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650Adreno 650Adreno 650
8/12 Gigabyte8 Gigabyte8 Gigabyte
128/256 GB UFS 3.0256 Gigabyte UFS 3.1256 Gigabyte UFS 3.1
Kamera Utama :
48 MP (f/1.8) – (Utama)
16 MP (f/2.2) 119˚– (Sudut-Lebar)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Utama :
108 MP (f/1.7) – (Utama)
13 MP (f/2.4) 119˚– (Sudut-Lebar)
5 MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Utama :
12 MP (f/1.8) – (Utama)
8 MP (f/2.2) 119˚– (Telefoto)
12 MP (f/2.4) – (Ultra-Lebar)
Kamera Hadapan
16-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32 Megapixel f/2.0
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirIP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
4,300mAh (30W Warp Charge)5,000mAh (Pengecasan Pantas 33W)4,500 mAh (Pengecasan Pantas 25W)
Bermula RM2,899RM1,999RM3,399

Konklusi

Jujur kami katakan yang Xiaomi gemar “membunuh” peranti merekla sendiri. Harga jualan Mi 10T Pro bermula dari RM1,999. Ia adalah satu harga jualan yang murah dan berbaloi untuk peranti mercu. Tetapi, untum siapakah peranti ini dan adakah patut pengguna Poco F2 Pro beralih ke peranti ini?

Mi 10T Pro adalah untuk mereka yang inginkan semuanya dalam satu pakej. Jika inginkan kamera, skrin kadar segar semula tinggi dan prestasi hebat – ini adalah peranti untuk anda. Bagi yang inginkan skrin AMOLED, Mi 10 dan Poco adalah untuk anda. Peranti ini lebih kepada pengalaman ingin mencuba skrin kada segar smeula yang lebih tinggi dengan mod boleh-suai serta bateri yang besar dan tidak lupa juga kemampuan fotografi yang hebat.

Bagi mereka yang masih menggunakan peranti kelas pertengahan atau peranti mercu yang sudah berusia lebih dua tahun. Ini adalah peranti untuk anda. Ia seimbang dari semua aspek dan memuaskan hati dari pengalaman penggunaan. Harga jualan juga adalah murah dan sangat kompetitif. Kami sendiri gemarkan peranti ini dan pada hemat kami, Mi 10T Pro adalah lebih baik dari Poco F2 Pro. Huruf “T” yang digunakan menjawab nilai peranti ini, iaitu untuk “Terbaik“.

Kelebihan

  • Skrin LCD yang terbaik yang pernah kami cuba.
  • Sokogan 144Hz dengan mod boleh-suai yang sangat lancar dan membantu.
  • Bateri besar yang menjami ketahanan.
  • Kamera yang hebat dengan kemampuan fotografi serta videografi lebih menarik.

Kekurangan

  • Masalah memanas yang menjengkelkan.
  • Masih lagi Snapdragon 865 bukannya 865+ dan memori terhad kepada 8GB RAM sahaja.
  • Peranti terasa berat dan penat jika lama dipegang
  • Bonjol kamera yang tinggi.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd