Sebuah syarikat penyedia penyelesaian tanpa tunai / pembayaran maya (virtual payment), Revenue Monster kini menjalinkan kerjasama dengan GrabExpress dalam usaha meningkatkan penyelesaian perkhidmatan penghantaran untuk ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia boleh dianggap satu langkah yang baik untuk beberapa perkara termasuk dalam membantu para PKS dan perusahaan mikro sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

Melalui kerjasama ini, Revenue Monster kini menambah perkhidmatan GrabExpress ke dalam kedai atas talian mereka iaitu à la carte sebagai sebuah lagi penyelesaian penghantaran baharu untuk perkhidmatan tersebut. Jadinya, para peniaga kini boleh menggunakan perkhidmatan à la carte untuk menjual barangan secara atas talian. Kemudiannya, menggunakan kemudahan GrabExpress untuk penghantaran barangan yang cepat dan selamat. Buat masa ini, kemudahan GrabExpress pada perkhidmatan à la carte hanya ditawarkan di beberapa lokasi seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu sahaja.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama ini, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda Chin berkata À la carte telah merevolusikan proses pendigitalan perniagaan dan ia boleh juga menyelaraskan proses pembayaran dengan 15 kaedah – termasuk semua e-Wallet utama serta kad debit dan kredit. Melalui kerjasama ini juga, ia secara tidak langsung membolehkan pihaknya untuk berhubung dengan lebih ramai pelanggan, selain bantu meningkatkan aliran pendapatan mereka.