Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini telah mengumumkan mereka mengeluarkan kompaun sebanyak RM700,000 pada 1 Oktober 2020 kepada sejumlah syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna yang dilakukan pada 2019 lepas.
Seperti ramai sedia maklum, kerajaan telah memperkenalkan perundangan yang memerlukan pendaftaran kad SIM oleh pengguna sebelum dapat menggunakannya. Namun, terdapat segelintir penjual yang tidak melakukan pengesahan identiti pengguna, dan mengaktifkan kad SIM tanpa melalui proses berkenaan, atau dengan menggunakan identiti tidak tepat.
Melalui kompaun yang dikeluarkan oleh SKMM kali ini, U Mobile menerima jumlah kompaun tertinggi bernilai RM250,000, diikuti oleh Celcom dan TuneTalk. Selain itu, Maxis, YTL dan TonePlus turut dikenakan kompaun disebabkan kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar palsu ini.