Cari @ Amanz

Razer dilaporkan sedang cuba memasuki industri kewangan. dan selain daripada dompet digital Razer Pay, mereka telah mula memperkenalkan perkhidmatan kad debit/prabayar Razer Card, yang tiba dengan aplikasi dompet digital yang diintegrasi kepada Razer Pay dan juga pilihan dua kad debit fizikal.

Dengan Razer Card ini, pengguna boleh menggunakan aplikasi dan kad fizikal Razer Card ini seperti kad debit biasa, dengan memasukkan wang kedalamnya secara atas-talian.

Salah satu keunikan Razer Card ialah janji Razer bahawa setiap pembelian menggunakan kad debit ini akan hadir dengan pulangan tunai sebanyak 1 peratus, manakala setiap pembelian di Razer Store dan Razer Gold dengan kad ini akan hadir dengan pulangan tunai sebanyak 5 peratus.

Mereka yang menggunakan kad debit ini untuk membayar pelbagai jenis pembelian juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif daripada Razer.

Bagi 1337 pengguna yang bernasib baik untuk memasuki program beta ini, mereka akan diberi peluang untuk memilih salah satu daripada dua jenis kad debit fizikal: Iaitu kad debit biasa dan juga premium.

Razer Card biasa hadir dengan rekaan berwarna hitam matte yang biasa, manakala Razer Card premium hadir dengan logo LED berwarna hijau yang akan menyala apabila pengguna membayar pembelian menggunakan sistem PayWave.

Sayangnya program Razer Card ini hanya terhad kepada pasaran Singapura buat masa ini. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika ia akan dikembangkan ke pasaran-pasaran lain seperti Malaysia, dimana mereka mempunyai pejabat tempatan untuk perkhidmatan RazerPay.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd