Apple hari ini mengumumkan mereka akan mengadakan sebuah acara pada 13 Oktober (14 Oktober mengikut waktu Malaysia). Apple menggunakan slogan “Hi, Speed” bersama-sama dengannya, sekaligus memberikan petanda iPhone 12 bakal diperkenalkan pada tarikh berkenaan.
Acara pengumuman ini akan diadakan secara atas-talian sepenuhnya, dan distrim seperti biasa melalui sejumlah saluran oleh Apple.
iPhone 12 dijangka hadir dalam beberapa variasi, dan bakal menggunakan cip pemprosesan terpantas mereka, iaitu cip A14. Mengikut desas-desus, Apple dijangka memperkenalkan iPhone 12 mini, iPhone 12 Max, iPhone 12 Pro, dan juga iPhone 12 Pro Max.
Selain pelbagai pilihan saiz, Apple juga dijangka memfokuskan kepada sokongan kamera, dan mungkin menyertakan sensor LiDAR pada iPhone paling premium mereka.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan 14 Oktober ini untuk melihat kejutan yang disediakan oleh pihak Apple melalui iPhone terbaru mereka.