NVIDIA Maxine Mengurangkan Keperluan Data Video Telesidang Sehingga 99% Menggunakan Kecerdasan Buatan

NVIDIA Maxine Mengurangkan Keperluan Data Video Telesidang Sehingga 99% Menggunakan Kecerdasan Buatan

Diterbitkan pada Okt 7, 2020 oleh .

Norma baharu menyebabkan penggunaan internet mencanak naik sehingga beberapa perkhidmatan penstriman mengurangkan kualiti video bagi mengurnagkan beban ke atas rangkaian. Isu hangat di Malaysia pula ialah kerana kelas atas talian menerusi aplikasi telesidang memerlukan data yang besar, mereka yang tinggal di kawasan dengan capaian Internet yang buruk akan ketinggalan.

Semalam NVIDIA Maxine telahpun diumumkan. Kecerdasan buatan ini menurut NVIDIA mampu mengurangkan penggunaan data untuk aplikasi telesidang sehingga 99%. Sungguhpun begitu kualiti video penstriman tidak terjejas.

Maxine mengenalpasti beberapa titik di wajah pengguna bagi tujuan menghasilkan animasi ketika bercakap. Avatar maya dengan wajah sebenar pengguna akan dihasilkan. Kerana hanya data titik pada wajah pengguna diperlukan, data untuk penstriman dapat dikurangkan dengan mendadak.

Dalam demo video di atas, Maxine hanya memerlukan 0.1165 KB data untuk setiap bingkai video berbanding 97.28 KB untuk setiap bingkai video codec h.264.

Selain menghasilkan avatar wajah pengguna yang realistik, Maxine juga boleh digunakan untuk membuang imej latar, meningkatkan kualiti video ketika menstrim, mengurangkan hingar video, pembatalan hingar pada audio, menghasilkan sari kata berlainan bahasa dari audio secara masa nyata dan menghasilkan sari kata/transkrip secara masa nyata.

Pada waktu ini teknologi Maxine ditawarkan secara awanan yang boleh digunakan oleh pelanggan yang berminat. Avaya ialah syarikat pertama yang telah menggunakan Maxine pada perkhidmatan telesidang komersial mereka.



TIPS & ULASAN