Cari @ Amanz

Paparan skrin Dell UltraSharp cukup terkenal di kalangan kreatif profesional untuk kejituan warna pada tanda harga “mampu milik” berbanding dengan paparan-paparan skrin profesional di luar sana.

Terkini, Dell telah memperkenalkan paparan skrin UltraSharp terbaru mereka, iaitu Dell UltraSharp UP3221Q yang menggunakan paparan Mini-LED yang menjanjikan kecerahan yang tinggi, kejituan warna seakan-akan OLED tetapi tanpa isu burn-in yang membelenggu banyak paparan-paparan tersebut.

Untuk mereka yang bekerja dalam industri filem khususnya, paparan UltraSharp UP3221Q ini menyokong 99.8 peratus gamut warna DCI-P3 dan 93 peratus gamut warna Adobe RGB, disamping pensijilan HDR1000 dengan resolusi 4K.

Satu lagi ciri tambahan pada paparan ini ialah kebolehan untuk disambung kepada dua komputer sekaligus, dan memaparkan kandungan pada kedua-dua komputer ini secara serentak.

Menurut Dell, paparan ini hadir dengan tanda harga $5000 (~Rm20,000) dan boleh dibeli melalui kedai atas-talian Dell bermula 5 November kelak.

Kemaskini: Dell Malaysia telah mengesahkan bahawa paparan skrin Dell UltraSharp UP3221Q ini akan memasuki pasaran tempatan pada 6 November kelak, pada tanda harga RM16,919.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd