Samsung Galaxy Note20 Ultra adalah peranti mercu Samsung yang terkini. Ia menggunakan skrin AMOLED serba baharu dan adalah antara panel OLED terbaik dalam pasaran. Tetapi AMOLED adalah tetap AMOLED, yang mana masalah burn-in iaitu tuna skrin akan berlaku. Cuma, masalah ini biasanya berlaku dalam tempoh masa yang lama selepas peranti digunakan.
Malang nasib pengguna Galaxy Note20 Ultra, baru beberapa bulan sahaja digunakan masalah tuna skrin dilaporkan telah berlaku. Lebih menyedihkan adalah, masalah ini disebabkan oleh kerangka pelindung rasmi Samsung sendiri iaitu S-View Flip Cover. Kerangka ini akan menutup hampir keseluruhan skrin, kecuali di bahagian sisi untuk paparan AOD serta notifikasi. Nampaknya, mod ini menyebabkan tuna skrin berlaku dengan lebih pantas dari sepatutnya.
Masalah ini dikatakan berpunca dari perisian yang tidak dioptimasikan ketika kerangka dibuka dan ditutup. Secara tidak langsung menyebabkan sebahagian skrin hilang warna dan menjadi semakin malap. Ia akan kekal dan cara lain hanyalah dengan menggantikan skrin baru. Samsung walau bagaimanapun masih tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai hal ini. Bagi pengguna kerangka ini, anda dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya sehingga jalan penyelesaian ditemui.