Cari @ Amanz

Realme hari ini mengadakan sebuah acara khas, Leap To Next Gen yang berlangsung di India untuk pengenalan sejumlah produk terkini mereka. Ia termasuklah Realme Buds Wireless Pro dan Realme Buds Air Pro yang diumumkan ketika acara IFA tempoh hari.

Untuk Realme Buds Air Pro, ini adalah set fon telinga kesinambungan daripada Realme Buds Air dan Realme Buds Air Neo yang dilancarkan sebelum ini. Dari segi rekaan, ia dilihat seakan ‘meminjam’ reka bentuk daripada fon telinga yang dikeluarkan oleh Apple. Ia hadir dengan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bulat seakan serupa dengan Vivo Neo TWS. Fon telinga ini dilengkapi pemandu audio sebesar 10mm, selain hadir dengan penarafan rintangan air IPX4.

Seterusnya, ia turut dilengkapi sokongan pembatalan hingar aktif (ANC), selain menggunakan dua mikrofon yang mampu mengurangkan hingar sehingga 35dB. Difahamkan, mod pembatalan hingar aktif ini boleh diaktifkan menerusi aplikasi Realme Link. Realme Buds Air Pro menggunakan Bluetooth 5.0, kawalan sentuhan dan menyokong codec SBC, AAC. Untuk baterinya, ia dikatakan menjanjikan masa main balik dengan ketahanan maksima sehingga 25 jam. Realme Buds Air Pro hadir dalam dua pilihan warna iaitu Soul White dan Rock Black.

Bergerak kepada Realme Buds Wireless Pro pula, ia juga hadir dengan pembatalan hingar aktif (ANC) di samping, mengekalkan sejumlah ciri menarik lain. Salah satu daripadanya seperti sambungan magnetik. Realme Buds Wireless Pro juga dilengkapi cip pembatalan hingar khusus Realme yang mampu mengurangkan hingar sehingga 35dB. Seterusnya, fon telinga ini juga dilengkapi pemandu audio sebesar 13.6mm bersama sokongan Sony LDAC serta Hi-Res Audio untuk kualiti bunyi yang baik.

Dari segi rekaan, ia mempunyai rekaan gelung leher dengan fon jenis dalam-telinga. Pada masa sama, Realme turut menambah butang khusus yang memudahakn proses penukaran antara dua peranti. Untuk baterinya, ia menyertakan bateri sebesar 160mAh dan dikatakan menjanjikan masa main balik dengan ketahanan makmima sehingga 22 jam.

Untuk penawaran harga, Realme Buds Air Pro ditawarkan pada harga INR 4,999 (~RM283). Manakala, Realme Buds Wireless Pro pula berharga INR 3,999 (~RM227) . Buat masa ini, kedua-dua aksesori audio ini hanya ditawarkan untuk pasaran India sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd