Ulasan Tronsmart Apollo Bold – TWS ANC Termurah Di Pasaran

Ulasan Tronsmart Apollo Bold – TWS ANC Termurah Di Pasaran

Diterbitkan pada Okt 8, 2020 oleh .

Tronsmart adalah jenama yang kini tidak asing lagi dengan aksesori audio. Mereka mula membina nama melalui produk-produk kuasa seperti pengecas, kabel dan powerbank. Sedar dengan peralihan trend teknologi ke arah TWS, mereka mula melancarkan pelbagai jenis TWS tersendiri dari yang murah sehinggalah yang mahal.

Produk terkini mereka adalah Tronsmart Apollo Bold. Apa yang menarik dengan TWS mereka kali ini adalah, ia menyokong pembatalan hingar aktif dan dijual pada harga yang sangat kompetitif. Kami telah menggunakan TWS ini dan ini adalah pendapat kami. Untuk ketahui sama ada adakah ia berbaloi atau adakah sokongan pembatalan hingar aktif mereka ini gimik atau tidak – teruskan membaca.


Spesifikasi & Rekaan

Tronsmart Apollo Bold
JenisDalam Telinga/TWS
Mikrofon6
Bateri85 mAh pada fon telinga
500 mAh pada pod pengecas
PengecasanUSB-C/Tiada Pengecasan Nirwayar
Cip AudioQualcomm QCC5124
CODECaptX, AAC, SBC
AplikasiAndroid, iOS
Sokongan pembantu mayaYa (Siri/Google Assistant)
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airIP45
Harga Jualan RM 399

Tronsmart Apollo Bold adalah TWS mercu mereka, yang mana adalah yang paling mahal di antara semua TWS mereka yang sedia ada. Tronsmart menggunakan cip dari Qualcomm, iaitu QCC5124. Melalui cip ini ia boleh memberikan sokongan pembatalan hingar aktif serta audio stereo. Untuk codec ia menyokong aptX, SBC dan juga AAC. Seperti biasa Tronsmart kekalkan TWS mereka dengan fon telinga jenis dalam telinga.

Bateri adalah 85mAh pada kedua-dua fon telinga dan 500mAh pada pod pengecasan. Ini adalah penggunaan kapasiti bateri yang agak besar. Pengecasan pula adalah melalui USB-C dan sayang sekali ia tidak menyokong pengecasan nirwayar. Untuk perlindungan, ia menyertakan IP45. Kawalan adalah melalui pad sesentuh pada permukaan fon telinga, yang mana turut menyokong seruan pembantu digital.

Rekaan sekali imbas kelihatan menarik. Tetapi sayang sekali binaan plastiknya menjadikan produk mercu mereka ini seakan produk tidak berkualiti. Lagi-lagi pada pod pengecasan yang terasa seakan TWS klon sahaja. Syukur pada fon telinga mempunyai keunikan tersendiri. Tetapi jika dipandang dengan teliti, ia kelihatan seakan Surface Earbuds. Fon telinga turut diperbuat daripada plastik, jadi walaupun besar ia agak ringan. Fon telinga juga mempunyai tekstur yang cuba menjadikan ia seakan TWS yang premium.

Rekaan seperti ini menjadikan satu masalah besar, kerana saiz yang besar serta mempunyai muncung yang tajam. Ia memberikan perasaan tidak selesa selepas menggunakan TWS ini dalam masa yang singkat. Saiz pod pengecasan juga agak besar dan lebar, yang mana menjadikan ia agak sukar disumbat di dalam kocek.

Untuk sambungan, ia menggunakan cip Bluetooth 5.0 dan walaupun dijana dengan cip Qualcomm, ia tidak menyokong tambatan pantas.

Kualiti Audio

Untuk kualiti audio, dari pandangan pengguna biasa – ia mempunyai kualiti yang baik sekali. Ia bukan berada dalam kategori yang teruk dan menyesal. Ia mampu memainkan muzik dengan baik serta memberikan pengalaman pendengaran yang seronok sahaja.

Pandangan secara lebih profesional adalah, ia mempunyai bass yang terlampau berdentum dengan kuat dan hanya pada satu dimensi sahaja. Ia menjadikan muzik yang ada bass kuat terasa tidak selesa dan menyakitkan telinga. Bass yang begitu kuat adalah satu profil audio yang tidak begitu enak, tetapi menjengkelkan. Dari segi high, ia menjadikan muzik terasa bingit dan sakit telinga. Pengalaman pendengaran adalah tidak mengasyikkan dan dengan muncung yang tajam ia terasa terus ingin mendengar dari pembesar suara sahaja.

Mids pula adalah menarik sekali. Ia memfokuskan kepada vokal yang enak, yang mana bahasa teknikalnya adalah ia mempunyai profil audio yang suam. Cuma bunyi desis huruf “S” akan jelas kedengaran. Apabila khusyuk mendengar muzik, vokal lelaki adalah lebih baik dari penyanyi wanita. Masalah besar pada TWS ini adalah ia tiada pengasingan yang baik. Ini bermakna, kami sukar untuk bezakan instrumen apa yang sedang dimainkan dan seakan semua instrumen digabungkan sekali dengan begitu sahaja.

Pementasan audio pula terlampau ke tengah dan tidak begitu imersif. Walaupun cip audio yang digunakan menyokong audio stereo, ia tidak cukup baik. Ia seakan fokus pada tengah-tengah telinga sahaja.

Seterusnya adalah mod pembatalan hingar aktif, yang mana ia adalah terlampau ringan dan seakan tidak berfungsi. Pembatalan hingar aktif ini lebih menjadi disebabkan silikon pada fon telinga sahaja. Dengan kata lain, ia lebih kepada pembatalan hingar pasif. Mod ambien pula adalah yang paling teruk. Ia seakan mengaktifkan bunyi white noise sahaja, yang mana bunyi frekuensi yang bising dan mikrofon seakan tidak menangkap audio yang sepatutnya ditangkap.

Ketahanan Bateri

Sejak kami mula menguji produk-produk audio Tronsmart, ketahanan bateri adalah seperti apa yang mereka dakwa. Benar penggunaan secara berterus mampu bertahan menghampiri 7 jam dan dengan pod pengecasan ia mampu memberikan ketahanan 30 jam tambahan. Tetapi seperti biasa, itu adalah dengan ANC dihidupkan. Jika ANC dimatikan, ia boleh digunakan secara berterusan selama 10 jam. Dengan syarat, aras suara adalah 50%.

Sepanjang penggunaan TWS ini, kami menggunakan aras suara lebih 50% – iaitu dari 70% sehingga 100%. Paling mengecewakan adalah, masa pengecasan adalah lebih dua jam. Walaupun ada USB-C, tiada pengecasan pantas adalah satu perkara yang menjengkelkan.

Kawalan & Fungsi Pintar

Akhirnya, Tronsmart mempunyai aplikasi tersendiri untuk kawalan produk-produk audio mereka. Tetapi buat masa ini ia terhad kepada Spunky Beat dan Apollo Bold sahaja. Aplikasi Tronsmart ini adalah asas dan sangat teruk. Ia tidak mesra pengguna, banyak masalah tambatan terputus, kemaskini sukar dipasang serta tidak kira Android atau iOS – dua-dua akan ada masalah.

Untuk Tronsmart Apollo Bold, aplikasi ini membenarkan pengguna menghidupkan/mematikan mod pembatalan hingar aktif dan juga mod Ambient. Kemudian ia ada pilihan tetapan penyama untuk profil audio yang sesuai dengan diri masing-masing. Ia turut ada imej memberi arahan kawalan sentuhan apa yang disokong dan membolehkan pengguna kemaskini perisian, akses manual pengguna serta terus nyahtambat.

Konklusi

Tronsmart Apollo Bold adalah TWS untuk mereka yang ingin mula mencuba aksesori audio dengan pembatalan hingar aktif, tetapi dengan bajet yang terhad. TWS ini akan memberikan pengalaman pendengaran yang baik-baik sahaja dan dari segi kualiti audio ia tidak mengecewakan. Cuma pengorbanan di sini adalah dari segi keselesaan sahaja.

Jika anda tidak hiraukan kualiti binaan, TWS ini sudah pun memadai kerana ia menawarkan pakej lengkap untuk sesebuah aksesori audio yang mengikut trend terkini. Apollo Bold turut ada perlindungan IP45, yang mana adalah sesuai bagi mereka yang aktif bersenam.

Cuma, Tronsmart masih perlu banyak belajar dari pesaing seperti dari segi sokongan aplikasi dan juga kualiti binaan. Banyak sahaja jenama yang tidak begitu popular, harga jualan lebih murah yang mempunyai kualiti binaan yang lebih baik.

Jadi tidak dinafikan yang TWS ini adalah TWS termurah di pasaran dan antara yang terbaik yang menyokong ANC. Harga jualan serendah RM399 adalah satu harga yang sukar untuk ditolak.

Kelebihan

  • TWS dengan ANC paling murah
  • Vokal yang baik dan seronok didengari.
  • Kini menyokong kawalan dari aplikasi.
  • Ketahanan bateri yang baik sekali.

Kekurangan

  • ANC yang masih tidak matang
  • Bass dan High yang tidak begitu enak.
  • Aplikasi masih tidakl berfungsi dengan baik.
  • Tiada sokongan pengecasan pantas.
  • Bahan binaan yang tidak berkualiti

TIPS & ULASAN