Acara khusus Realme, Leap To Next Gen nampaknya bukan sekadar memperkenalkan Realme Smart TV SLED 4K 55″, Realme Buds Wireless Pro dan Realme Buds Air Pro sahaja. Sebaliknya, ia turut memperluaskan barisan peranti berhubung mereka dengan sejumlah produk menarik lain seperti Realme Smart Cam 360°, Realme Smart Plug, Realme Sonic N1 Electric Toothbrush, Realme Selfie Tripod dan Realme Power Bank 2.
Realme Smart Cam 360°
Produk ini sebenarnya telah diumumkan ketika acara IFA 2020 tempoh hari. Akhirnya, ia kini diperkenalkan secara rasmi. Ia dilengkapi sokongan kualiti definisi tinggi 1080p dan berkebolehan berpusing sehingga 360 darjah. Ia juga dilengkapi pengesanan pergerakan AI, pembesar suara dua hala untuk kebolehan panggilan jauh, sokongan gimbal untuk kebolehan panorama lebih baik dan Night Vision Mode yang diaktifkan secara automatik. Dari segi rekaan, ia hadir dengan rekaan membulat, bersama binaan jenis polikarbonat dalam kemasan berwarna putih. Realme Smart Cam 360° dijual pada harga Rs2,599 (~RM147).
Realme Smart Plug
Untuk Realme Smart Plug pula, rekaan utama ini dilihat seakan sama dengan rekaan suis yang biasa. Menariknya di sini, melaluinya pengguna boleh menghubungkan peranti elektronik ke rangkaian rumah pintar, selain dilengkapi smabungan Wi-Fi 2.4GHz. Difahamkan juga, palam ini boleh dikawal oleh pengguna menerusi aplikasi Realme Link, seain turut menyokong pembantu suara seperti Google Assistant dan Amazon Alexa. Ia dijual pada harga Rs799 (~RM46).
Realme Sonic N1 Electric Toothbrush
Berus gigi pintar ini adalah kesinambungan daripada Realme M1 Sonic Electric Toothbrush sebelum ini. Berus gigi ini menyokong fungsi pelindungan kalis air IP7, selain dikuasakan oleh motor sonik canggih, dilengkapi bulu yang anti-bakteria dan boleh digunakan sehingga 20,000 kali/minit. Realme Sonic N1 Electric Toothbrush juga mempunyai bateri sebesar 800mAh yang dikatakan mampu berhatan sehingga 130 hari melalui sambungan port USB-C. Ia juga dijual pada harga Rs799 (~RM46).
Realme Selfie Tripod
Realme Selfie Tripod hadir dengan tubuh yang boleh memanjang sehingga 60cm. Bahan binaan yang digunakan di sini adalah jenis aluminium, selain turut disertakan butang khusus untuk pemegang tripod ini berpusing berpusing sehingga 360 darjah. Turut disertakan adalah alat kawalan jauh berasaskan bluetooth yang menyokong bluetooth 5.1. Realme Selfie Tripod ditawarkan pada harga Rs1,199 (~RM68).
Realme Power Bank 2
Realme turut memperluaskan penawaran barisan bank kuasa mereka dengan memperkenalkan Realme Power Bank 2 dengan kapasiti 20,000mAh. Ia turut dilengkapi dua port USB-A dan port USB-C, selain 14 lapisan pelindung keselamatan. Pengecasan 18W juga boleh dinikmati pada Realme Power Bank 2. Realme Power Bank 2 dijual pada harga Rs1,599 (~RM91).