Cari @ Amanz

Kaca mata realiti terimbuh digunakan dalam industri automotif untuk memudahkan proses selenggara kenderaan. Terdapat pelbagai lagi konsep penggunaannya untuk industri perhotelan, pendidikan, pembinaan dan perlombongan. Tetapi satu konsep yang tidak kami sangka berlaku ialah penggunaannya pada haiwan.

Tentera Amerika Syarikat telah mengumumkan penggunaan kaca mata realiti terimbuh pada anjing yang digunakan di medan perang. Dengan kaca mata ini pergerakan anjing perang dapat dipantau oleh anggota tentera.

Apabila mengesan kawasan yang menarik perhatian, pengawal boleh memberikan arahan suara supaya anjing pergi melakukan pemeriksaan.

Pada waktu ini kamera diletakkan pada bahagian belakang anjing perang yang tidak memberikan pandangan terbaik dan mengikut arah yang dipandang. Sistem dibangunkan oleh Command Sight dengan pek bateri diletakkan pada rompi yang dipakaikan pada tubuh. Kajian selama dua tahun akan dilakukan bagi menguji keboleh gunaan kaca mata ini serta mengecilkan saiznya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd