#Seratus21 – Era Apple Silicon Bakal Bermula

#Seratus21 – Era Apple Silicon Bakal Bermula

Diterbitkan pada Okt 8, 2020 oleh .

Pada pertengahan tahun ini, sewaktu acara WWDC, Apple telah mengumumkan bahawa mereka akan mula membangunkan cip pemprosesan berasaskan ARM mereka sendiri, yang dinamakan Apple Silicon untuk peranti-peranti seperti siri MacBook.

Apple Silicon

Ini bukanlah kali pertama Apple mengumumkan pembangunan komponennya sendiri. Apple yang telah menggunakan cip pemprosesan dengan set arahan PowerPC sejak tahun 1994 berubah haluan ke Intel bermula tahun 2004-2005.

Walaupun CPU PowerPC sangat berkuasa, pengeluaran habanya yang sangat tinggi bermakna ia tidak sesuai digunakan didalam komputer-komputer desktop ataupun komputer riba yang lebih padat.

Selang 15 tahun kemudian, teknologi cip pemprosesan mudah-alih yang semakin pesat membuatkan Apple sekali lagi mengambil langkah berani-mati dengan memgumumkan bahawa peranti-peranti MacBook mereka akan datang akan menggunakan cip pemprosesan ARM pula; yang sama digunakan didalam peranti-peranti iPhone dan juga iPad mereka.

Ironinya, Intel kini menghadapi masalah yang sama dengan MacBook generasi ini. Isunya bukan dari segi prestasi, tetapi pengeluaran haba dan juga jangkahayat bateri yang tidak memuaskan piawaian Apple sendiri.

Sebagai contoh, siri tablet profesional iPad Pro 2019 yang menggunakan cip pemprosesan ARM A12Z Bionic hadir dengan prestasi yang sama dengan siri cip pemprosesan Intel Core i5 generasi ke-8, tetapi mempunyai jangka-hayat bateri dan pengeluaran haba yang lebih baik.

Mengambil ilham daripada peranti-peranti seperti iPhone dan iPad Pro yang menggunakan cip ARM mereka sendiri, Apple nampaknya mengambil peluang ini untuk juga mengintegrasi sistem operasi MacOS dengan kedua-dua sistem operasi mudah-alih mereka.

Apple Mac Mini

Ini dapat dilihat melalui pelan Apple dimana mereka telahpun mula mengeluarkan set pembangun (Developer Transition Kit) Mac Mini yang dikuasakan oleh CPU A12Z Bionic tersebut untuk membolehkan pembangun perisian untuk membangunkan perisian dalam set arahan ARM daripada x86.

Perubahan penggunaan set arahan x86 kepada ARM secara menyeluruh ini hadir dengan beberapa risiko buat Apple. Paling utama ialah perisian-perisian yang perlu dibangunkan semula menggunakan set arahan yang baru tersebut.

Apple Silicon

Oleh kerana ini, Apple telah menetapkan jangka-masa dua tahun sebelum mereka akan berubah sepenuhnya kepada komputer MacBook yang menggunakan Apple Silicon.

Walaupun begitu, ia dijangka bahawa MacBook Apple Silicon pertama akan diperkenalkan seawal tahun hadapan untuk mereka yang tidak kisah untuk menjadi pengguna awal. Apple sudahpun memperlihatkan sistem operasi MacOS yang digerakkan dengan CPU A12Z Bionic, jadi kami pasti bahawa peranti tersebut akan diperlihatkan tidak lama lagi.

Kedua ialah daro segi penawaran peranti. Ia masih tidak diketahui lagi jika Apple akan memperkenalkan cip-cip baru dengan prestasi yang berbeza untuk peranti MacBook pada harga yang berlainan.

Ini adalah kerana siri peranti Mac sahaja yang mempunyai perbezaan dari segi cip pemprosesan yang digunakan. Peranti-peranti lain seperti iPhone dan iPad hadir dengan cip pemprosesan yang sama, dan cuma saiz paparan dan storan dalaman sahaja yang berbeza.

Ketiga ialah dari segi prestasi. Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri MacBook dengan Apple Silicon pertama ini pastinya sebuah peranti ujian buat Apple untuk melihat jika ia benar-benar boleh digunakan untuk menggantikan cip pemprosesan Intel yang digunakan sejak sekian lama.

Bukan sahaja dari segi prestasi peranti, tetapi juga jika perisian-perisian yang baru dibangunkan ini akan menjejaskan cara kerja mereka yang sudahpun biasa menggunakan MacBook sebelum ini.

Intel Thunderbolt 3

Sokongan untuk peranti-peranti parti ketiga juga mungkin perlu diambil kira, khususnya aksesori-aksesori yang menyokong teknologi penghantaran data Thunderbolt.

Thunderbolt ialah teknologi yang dibangunkan oleh kedua-dua Apple dan Intel, dan salah satu sebab mengapa ramai golongan profesional menggunakan komputer riba ini.

Apple mengatakan bahawa mereka akan terus menyokong teknologi penghantaran data tersebut pada MacBook akan datang, dan ia dilihat bahawa Apple mungkin akan bekerjasama dengan pihak USB Implementers Forum kerana Intel telahpun memberi rangka tindakan untuk palam Thunderbolt 3 kepada mereka.

Dengan peralihan Apple kepada penggunaan CPU ARM, mereka perlu mencari cara untuk memastikan bahawa ciri ini setaraf dengan apa yang ditawarkan bersama-sama Intel sebelum ini.

Menariknya, peranti pertama yang menggunakan cip Apple Silicon sebenarnya ialah Apple Watch Series 6. Ia diumumkan bahawa cip tersebut dinamakan Apple Silicon S6, iaitu cip pemprosesan dwi-teras yang berdasarkan sebahagian daripada cip pemprosesan A13 sebelum ini.

Apa-apa pun, kami sedang menantikan ketibaan siri komputer riba MacBook yang menggunakan Apple Silicon ini. Adakah ia akan memulakan era baru perkomputeran untuk Apple, dan yang lain akan bakal menyusul? Sama-sama kita tunggu.



TIPS & ULASAN