Siri CPU AMD Ryzen 5000 Diperkenalkan – Bakal Tiba Di Pasaran Pada 5 November Kelak
AMD

Siri CPU AMD Ryzen 5000 Diperkenalkan – Bakal Tiba Di Pasaran Pada 5 November Kelak

Diterbitkan pada Okt 9, 2020 oleh .

Siri CPU AMD Ryzen 5000, ataupun dengan nama-nama lainnya, AMD Zen 3 ataupun “Vermeer” telah akhirnya diumumkan oleh AMD sebentar tadi. Dr. Lisa Su, CEO AMD telah memperkenalkan empat model CPU yang akan mula dijual di pasaran antarabangsa dalam masa kurang dari sebulan lagi.

Empat CPU yang diperlihatkan oleh beliau termasuklah AMD Ryzen 9 5900X, AMD Ryzen 7 5800X dan AMD Ryzen 5 5600X. AMD turut mengumumkan ketibaan CPU Ryzen 9 paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu AMD Ryzen 9 5950X yang mempunyai 16 teras dan 32 bebenang kuasa.

  • AMD Ryzen 9 5950X – 16 teras, 32 bebenang kuasa, kelajuan Boost 4.9Ghz
  • AMD Ryzen 9 5900X – 12 teras, 24 bebenang kuasa, kelajuan Boost 4.8GHz
  • AMD Ryzen 7 5800X – 8 teras, 16 bebenang kuasa, kelajuan Boost 4.7GHz
  • AMD Ryzen 7 5600X – 6 teras, 12 bebenang kuasa, kelajuan Boost 4.6GHz

Walaupun siri-siri CPU Ryzen 5000 masih dibina menggunakan proses 7nm sama yang digunakan untuk CPU mereka tahun lepas, ia hadir dengan rekaan topologi cip baru yang memastikan bahawa kadar pendam penghantaran data adalah lebih pantas berbanding dengan model sebelum ini.

Dari segi prestasi, AMD menjanjikan nilai IPC (instructions per clock) 19 peratus lebih tinggi apabila CPU Ryzen 5000 ini dibandingkan dengan siri CPU AMD Ryzen 3000.

Sebagai contoh, pihak AMD memperlihatkan demo penanda-aras Shadow of The Tomb Raider yang membandingkan CPU AMD Ryzen 3900X dan AMD Ryzen 5900X dengan spesifikasi komponen dan tetapan grafik yang sama. CPU yang lebih baru tersebut menunjukkan kadar bingkai sesaat yang jauh berbeza, selari dengan apa yang dijanjikan oleh AMD.

Cip pemprosesan tersebut juga memecah skor 600 mata pada perisian penanda-aras CPU CineBench R20 menggunakan satu bebenang pengolahan (rendering thread), yang mana AMD mengatakan ia adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Dari segi sokongan papan induk, AMD mengesahkan bahawa CPU AMD Ryzen 5000 ini akan menyokong papan induk dengan cipset AMD X570 dan B550.

AMD juga sebelum ini menjanjikan sokongan pada papan induk AMD X470 dan B450, tetapi masih belum mengumumkan bagaimanakah mereka akan mengaktifkannya.

Kesemua siri CPU AMD Ryzen 5000 ini akan dilancarkan pada 5 November kelak pada tanda harga berikut:

  • AMD Ryzen 9 5950X – $799
  • AMD Ryzen 9 5900X – $549
  • AMD Ryzen 7 5800X – $449
  • AMD Ryzen 5 5600X – $229


TIPS & ULASAN