Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S20 FE akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini selepas pra-tempahan dibuka sejak seminggu lalu. Peranti ini ialah peranti mercu Samsung yang paling mampu milik pada hara RM3399 dan juga satu-satunya dari mereka dengan cip Snapdragon 865.

Di Malaysia ia ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Cloud Orange, Cloud Lavender, Cloud Mint, Cloud Navy, Cloud White, dan Cloud Red. Dengan setiap pembelian, sebuah kerangka Clear Standing Cover akan diberikan secara percuma.

Peranti dilengkapi skrin 6.5″ SAMOLED FHD+ 120Hz, dipadankan dengan memori sehingga 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4500 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W. Ia masih boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti juga secara nirwayar.

Bagi yang memerlukan storan yang lebih besar, kad mikro SD sehingga 1TB boleh digunakan. Sedikit aneh fon kepala tidak lagi disertakan dan pengecas yang diberikan pula sekadar 15W. Untuk menikmati pengecasan paling pantas pengguna perlu membeli pengecas 25W secara berasingan.

Kamera utama menggunakan sensor 12+12+8 megapixel. Lensa sudut lebar digabungkan dengan lensa ultra sudut lebar dan lensa telefoto. Sistem telefoto menyokong zum optikal sehingga 3X dan zum digital pula sehingga 30X. Sementara itu kamera swafoto pula adalah sebesar 32 megapixel.

Sistem pengimbas cap jari optikal yang terbina dalam skrin digunakan bersama dengan kemampuan kalis air IP68. Selain itu sistem audio Dolby Atmos diberikan bagi memberikan pengalaman audio yang memuaskan. Peranti masih menggunakan Android 10 tetapi akan diberikan sokongan kemas kini sistem operasi selama 3 tahun.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd