Seiring dengan perubahan dan peredaran teknologi semasa, kita dapat lihat industri peranti pintar dibanjiri dengan produk yang canggih – baik dari segi luaran mahupun dalaman. Contoh terdekat dan paling rapat yang boleh dilihat adalah perubahan pada rekaan kamera swafoto yang berjaya mengubah corak penggunaan telefon pintar.

Pada awalnya dulu, kebanyakan telefon pintar hadir dengan kamera hadapan yang diletakkan pada bahagian dahi. Ia kemudiannya diubah kepada penggunaan rekaan bertakuk pada iPhone X. Pada awalnya menjadi bahan jenaka sebelum menjadi ikutan industri.
Seterusnya, diikuti trend kamera pop-naik dengan bahagian mekanikal yang bergerak, trend lubang kamera pada skrin dan paling terkini adalah trend kamera di bawah skrin. Atau juga dikenali sebagai teknologi Under-Screen Camera (USC). Mengulas lebih lanjut mengenai trend kamera di bawah skrin atau USC, ia sebenarnya bukan satu perkara baru dan mengejutkan. Sebaliknya, ia telah lama kedengaran sejak sekian lama.

Mari kita imbas kembali sewaktu awal-awal teknologi ini diperkatakan secara hangat oleh ramai pihak. Rekaan kamera yang terbina di dalam skrin mula muncul di talian sekitar tahun 2018 menerusi sebuah paten yang difailkan oleh Samsung menunjukkan kamera, sensor dan gagang telinga di belakang skrin peranti. Paten tersebut sebenarnya telah difailkan sekitar tahun 2016 dan dikatakan seolah memberi gambaran bahawa peranti dengan skrin sepenuhnya di bahagian hadapan bakal menjadi realiti kelak.
Malah baru-baru ini, Samsung turut ada mengesahkan sedang membangunkan teknologi kamera di bawah skrin, namun masih tidak diketahui lagi bilakah Samsung akan memperkenalkan teknologi ini pada peranti.
Kemudian, terdapat pula berita mengatakan Oppo dan Xiaomi terlebih dahulu memperlihatkan sistem yang sama pada peranti mereka di media sosial. Sekaligus memintas jenama gergasi Korea tersebut yang dilihat sehingga kini masih belum menggunakan sistem berkenaan pada peranti.

Ruang dahi untuk kamera yang digunakan pada peranti Xiaomi adalah lebih kecil berbanding yang digunakan oleh Oppo. Selain itu, Xiaomi turut berkongsi sedikit sebanyak mengenai teknologi yang digunakan di mana kamera sebesar 20-Megapixel diletakkan di belakang lapisan skrin.
Xiaomi menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh mereka sendiri yang membenarkan cahaya dari luar melepasi permukaan skrin dan sampai ke sensor kamera. Melalui pendedahan ini, ia sekaligus menambah lagi keyakinan ramai pihak yang mana era skrin bertakuk dan berlubang pastinya akan berakhir sejurus teknologi kamera terbina dalam skrin ini diperkenalkan pada peranti sebenar.
Namun begitu, Oppo akhirnya berjaya memintas kedua-dua jenama tersebut dan menjadi jenama pertama yang mengumumkan pengenalan teknologi ini kepada umum ketika acara Mobile World Congress (MWC) 2019 yang berlangsung di Shanghai. Bukan itu sahaja, malah mereka turut mempamerkan unit prototaip peranti dengan teknologi ini di acara tersebut.

Seperti namanya, kamera hadapan pada peranti tersebut disembunyikan di bawah paparan dengan posisi di bahagian tengah atas peranti. Bagi memudahkan anda faham mengenai konsepnya, ia sama seperti penggunaan pengimbas cap jari pada paparan yang kini digunakan secara berleluasa oleh hampir kesemua pengeluar peranti pintar.
Turut difahamkan, ia menggunakan bahan binaan khas yang membolehkan cahaya memasuki kamera. Sensor yang disertakan juga dikatakan lebih besar dengan bukaan yang lebih luas berbanding sensor kamera swafoto yang biasa. Lebih menariknya lagi, bahagian kamera ini turut boleh berfungsi dengan kawalan sentuhan. Bagaimanapun, ia masih sekadar prototaip sehingga ke hari ini dan tidak diketahui lagi bilakah Oppo akan memperkenalkannya kepada umum.

Terus bergerak ke tahun 2020, ketika ini kita dapat melihat bahawa Vivo pula mencuri perhatian dengan memperkenalkan Vivo Apex 2020. Ia merupakan sebuah peranti konsep yang hadir dengan persediaan kamera swafoto bawah skrin sebesar 16-Megapixel. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.45-inci OLED dengan skrin melengkung sehingga 120 darjah, sensor kamera utama 48-Megapixel dengan keupayaan gimbal dan sokongan pengecasan nirwayar 60W Wireless Super FlashCharge. Bagaimanapun, ia hanya sebuah peranti konsep sahaja, bukannya peranti yang sedia untuk dipasarkan.

Namun akhirnya, teknologi ini menjadi realiti apabila ZTE Axon 20 5G diperkenalkan, baru-baru ini. Ia merupakan peranti pintar pertama dengan rekaan kamera swafoto disebalik skrin ditawarkan secara komersial kepada pengguna. Sekaligus melaluinya, ia berjaya mengatasi segala masalah gangguan berkaitan pengalaman tontonan media tidak baik. Namun begitu, kualiti mengenai rakaman swafotonya masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Tidak seperti Oppo yang memang sedia maklum mengatakan ia hadir dengan penggunaan AI.

Tidak lama selepas itu, boleh dikatakan Xiaomi sekali lagi mencuri perhatian ramai melalui sebuah video yang dimuat naik oleh presiden perniagaan antarabangsa Xiaomi, Shou Zhi Chew. Ia memaparkan peranti Xiaomi dengan kamera di bawah skrin yang menggunakan lensa generasi ketiga dibangunkan oleh Xiaomi sendiri dan dijangka muncul pada tahun 2021 kelak.
Berdasarkan semua ini, kita dapat lihat peranti dengan kamera di bawah skrin semakin menjadi trend dari hari ke hari. Malah tidak dinafikan juga, pelbagai pengeluar seolah-olah seronok dan berlumba-lumba untuk menghasilkan peranti pintar dengan spesifikasi sebegini. Bahkan, tidak mengejutkan jika ia menjadi syarat wajib untuk sesebuah peranti pada tahun hadapan.
Pada pandangan anda, di manakah kedudukan terbaik untuk kamera swafoto pada sesebuah peranti? Dahi, takuk, lubang, pop naik atau bawah skrin? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.