Apakah evolusi seterusnya untuk kamera telefon pintar? Menurut Vivo ia adalah kamera swafoto pop naik yang boleh ditanggalkan. Peranti konsep Vivo IFEA telah diperlihatkan dengan ciri unik yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Kamera swafoto pop naik yang ditanggalkan boleh digunakan untuk mengambil swafoto dari jarak jauh, digunakan untuk mengambil gambar dari sudut yang tidak boleh dilakukan pada peranti biasa dan juga sebagai kamera aksi.
Bagi mengelakkan pengguna terlupa untuk menyimpan semula kamera, sistem penggera akan berbunyi apabila ia berada di luar capaian bluetooth. Ini sama seperti ciri yang diperkenalkan Samsung untuk S Pen mereka beberapa tahun lalu.

Pada waktu ini Vivo IFEA masih sekadar sebuah peranti konsep. Ia telah diberikan anugerah inovasi oleh Red Dot 2020. Vivo mempunyai rekod yang baik menjadikan peranti konsep sebagai peranti komersial. Persoalannya adalah ini ciri yang diingini pengguna?