Pada hari ini, kita sedia melihat beberapa saluran televisyen yang menawarkan khidmat jualan melaluinya – termasuk seperti WOWShop atau GoShop. Selain di televisyen, ciri seumpamanya juga telah mula diimplementasi pada beberapa laman sosial.
Kita sedia melihat integrasi seumpamanya dilaksanakan secara berperingkat pada Instagram dan juga TikTok. Kini, mengikut laporan baru, Google turut dijangka menyertakan ciri lebih kurang sama pada YouTube.
Ia diperkatakan Google sedang mengintegrasikan ciri membeli-belah terus pada YouTube. Dengan langkah ini, penerbit video boleh menyertakan pautan terus pada video untuk melakukan pembelian – dan bukannya pada bahagian penerangan seperti pada hari ini.
Pada hari ini sendiri, pelbagai saluran sedia mengetengahkan ulasan produk, dan langkah integrasi pada YouTube ini adalah suatu yang sedia dijangka ramai. Google juga turut boleh menjana pendapatan melaluinya, sekaligus menjadikan YouTube sebagai sebuah destinasi edagang yang diminati ramai.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Google akan memperkenalkan ciri ini secara rasminya.