Cari @ Amanz

Samsung Malaysia baru-baru ini telah membawa masuk telefon pintar terbaru ke pasaran tempatan, dibawah siri Galaxy S20. Telefon pintar ini membawakan nama Samsung Galaxy S20 FE (Fan Edition) yang mana nama ini sangat sesuai digunakan kerana ia sememangnya dilancarkan dengan spesifikasi berdasarkan permintaan peminat Samsung. Malah, Samsung juga telah mengikut kehendak para pengguna mereka dengan menawarkan janaan cip Snapdragon 865 pada telefon pintar Galaxy S20 FE ini.

Sebelum mengulas lebih lanjut, adalah lebih baik untuk kita fahamkan spesifikasi apakah yang ditawarkan pada telefon pintar ini. Samsung Galaxy S20 FE ini dilengkapi dengan rekaan skrin 6.5 inci Super AMOLED FHD+ bersama kadar segar semula 120Hz. Padanan memori dan storan yang disertakan adalah 8GB bersama storan sehingga 256GB. Manakala kapasiti baterinya pula adalah sebesar 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W yang mana ia juga menyokong untuk dicas secara berwayar dan juga nirwayar.

Dari segi sokongan kameranya pula, Samsung Galaxy S20 FE menyertakan kamera utama dengan gabungan sensor 12MP untuk lensa sudut lebar, 12MP untuk rakaman sudut ultra lebar dan juga 8MP untuk lensa telefoto. Manakala, untuk rakaman swafoto pula, telefon pintar ini dilengkapi dengan lensa 32MP. Untuk pengetahuan anda, telefon pintar ini mempunyai sistem penggambaran telefoto yang menyokong zum optikal sehingga 3X dan Space Zoom sehingga 30X.

Seperti kebanyakkan telefon pintar sekarang, hampir kesemua syarikat pengeluar peranti pintar berlumba-lumba dalam menawarkan spesifiaksi kamera yang baik. Tidak kurang juga untuk telefon pintar Samsung Galaxy S20 FE ini. Pelbagai fungsi kamera yang anda boleh gunakan pada telefon pintar ini.

a. Fungsi Space Zoom Sehingga 30X

Seperti yang kita tahu, siri Samsung Galaxy S20 sebelum ini menyertakan fungsi rakaman Space Zoom sehingga 100X. Pada model Galaxy S20 FE ini, ia masih lagi menyertakan fungsi rakaman yang sama. Namun kali ini ia menyokong rakaman zum sehingga 30X yang mana bagi saya ia berpatutan untuk harga pasarannya yang sedikit rendah berbanding siri S20 sebelum ini.

Samsung menyatakan bahawa fungsi ini juga akan memproseskan beberapa rakaman yang diambil bagi mengurangkan kehilangan kualiti gambar walaupun rakaman tersebut dirakam dengan zum yang paling tinggi. Jadi walaupun anda berada jauh dari subjek yang anda ingin rakamkan, dengan menggunakan Samsung Galaxy S20 FE anda masih boleh mendapatkan rakaman yang baik.

b. Fungsi Single Take Membolehkan Anda Untuk Mencipta Pelbagai Jenis Rakaman Dalam Satu Masa

Telefon pintar ini dilengkapi dengan fungsi Single Take yang membolehkan anda menghasilkan pelbagai jenis penggambaran samaada dari dalam bentuk gambar atau juga video. Melalui fungsi Single Take ini, rakaman berdurasi 3 hingga 10 saat akan dirakam menggunakan kesemua lensa yang ada pada kamera utama anda. Dengan hanya satu rakaman, anda boleh mendapatkan sehingga 14 jenis gambar dan video. Teknologi AI yang ada pada telefon pintar ini akan membahagikan rakaman tersebut kepada gambar statik dan juga beberapa klip video pendek. Oleh itu, dengan fungsi ini ia membolehkan anda menghasilkan AI Best Moment, Live Focus, gambar dengan penuras, Smart Crop, boomerang, gambar bergerak laju, gambar dengan efek hitam putih dan banyak lagi.

c. Fungsi Penggambaran Malam Yang Baik

Bagi anda yang gemar membuat penggambaran malam pula, Samsung Galaxy S20 FE ini juga mampu untuk menghasilkan rakaman yang jelas walaupun pencahayaan persekitaran anda adalah malap. Ini adalah kerana peranti mercu terbaru daripada Samsung ini dilengkapi dengan sensor yang lebih besar. Melalui saiz sensor yang lebih besar ini ia membolehkan anda untuk memerangkap lebih banyak cahaya dan ia akan dibantu oleh fungsi AI Multi-frame Integration. Dengan bantuan ini, ia akan menggabungkan semua gambar yang diambil pada tarikh dengan subjek persekitaran gambar yang sama untuk menghasilkan rakaman yang lebih jelas, terang, dan tajam.

Kesimpulan

Sekiranya anda sangat meminati fungsi-fungsi yang ada pada siri Samsung Galaxy S20 sebelum ini, dan inginkan telefon pintar dengan janaan cip Snapdragon 865, anda boleh dapatkan Samsung Galaxy S20 FE ini. Di Malaysia, telefon pintar ini dipasarkan pada harga RM3399 dengan 6 pilihan warna, iaitu Cloud Navy, Cloud Red, Cloud Lavender, Cloud Mint, Cloud Orange, Cloud White. Sekiranya anda berminat, boleh dapatkannya melalui laman rasmi Samsung atau pengedar-pengedar rasmi mereka.

Penafian: Advertorial daripada Samsung Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd