#Seratus21 – Pakai Jam Pintar Galakan Untuk Menjadi Sihat

#Seratus21 – Pakai Jam Pintar Galakan Untuk Menjadi Sihat

Diterbitkan pada Okt 12, 2020 oleh .

Beberapa tahun yang lalu, penggunaan penjejak kesihatan tidak begitu klise. Ini kerana harga mahal, pasaran yang terhad serta tidak begitu banyak pilihan. Tahun 2014, Xiaomi melancarkan Mi Band – atau lebih dikenali sebagai Mi Band 1. Ia dijual pada harga bawah RM100 dan lama kelamaan ia boleh dibeli pada harga RM49 sahaja. Ia tiada skrin, hanya ada lampu LED dan notifikasi melalui getaran sahaja.

Xiaomi Mi Band

Hari demi hari, Mi Band berkembang dengan kehadiran skrin dari OLED monokrom sehinggalah yang terkini – OLED berwarna. Pasaran sekarang juga dibanjiri dengan pelbagai pilihan penjejak kesihatan. Dari jenis gelang, berbentuk jam atau juga yang lebih maju – jam tangan pintar. Tetapi apa tujuan gajet ini dicipta dan kenapa ia penting untuk kita?


Penjejak kesihatan, seperti namanya sendiri bertujuan untuk mengingatkan kita untuk terus sihat. Dengan memiliki banyak gajet dan berada dalam dunia yang dipenuhi teknologi serta semuanya pintar – ia menjadikan manusia semakin malas. Jam tangan pintar pula memudahkan kita untuk urusan harian serta peringatan notifikasi tanpa kerap melihat skrin telefon, yang mana akan mencemarkan kesihatan pengguna.

Kewujudan gajet seperti ini adalah untuk menggalakkan pengguna ke arah sifat sedar diri dan lebih sihat. Jika anda lihat semua produk dalam kategori ini dari pelbagai jenama, ia tidak lagi seperti era permulaan peranti boleh pakai – iaitu notifikasi dan kurang menggunakan skrin telefon. Sebaliknya kini lebih sihat dan seimbang di antara dua perkara. Pertama adalah menikmati kehebatan teknologi. Kedua adalah sambil itu kita juga boleh kekal sihat.

Tetapi apa bezanya antara penjejak kesihatan (gelang atau jenis jam) dan juga jam tangan pintar? Kemudian kenapa kedua-dua gajet ini menggalakkan kita untuk jadi sihat dan bagaimana ia boleh membuatkan kita sedar diri dan terus ingin sihat?

Pertama kita lihat kepada jenama dan niat mereka. Adakah ciri kesihatan gimik semata-mata atau itu memang benar fokus mereka. Kita mulakan yang baru menyertai dunia peranti boleh pakai, iaitu Realme dan juga Oppo. Realme hadir dengan Realme Band dan juga Realme Watch. Kedua-dua ini jatuh dalam kategori penjejak kesihatan. Ia memfokuskan penggunaan jam tangan pintar asas, iaitu masih mampu memberikan notifikasi dari peranti, mengimbas nadi, memantau tidur dan memantau aktiviti sukan/senaman.

Realme Band

Realme adalah antara jenama yang cuba fokuskan penggunaan seimbang untuk kedua-duanya. Disebabkan ia masih baru, ia tidak begitu menggalakkan pengguna untuk terus aktif. Tiada sistem peringatan yang tegas untuk mengarahkan pengguna berdiri dan bergerak sedikit seperti membuat senaman ringkas selepas lama duduk. Fungsinya begitu asas hanya seakan Mi Band, cuma dalam dua bentuk berbeza. Ia lebih kepada, pengguna yang memilikinya harus ingat tujuan kewujudan produk ini untuk apa?

Oppo pula dengan Oppo Watch, yang mana merupakan jam tangan pintar sebenar. Ia cuba mimik Apple Watch, tetapi untuk ekosistem Android. Ia menjalankan Wear OS dengan pengoptimasian Color OS dan ada peringatan tegas untuk memberi amaran mengenai nadi pengguna, kembali berdiri selepas duduk diam lama serta hadir dengan banyak mod sukan untuk kemudahan pengguna. Produk seperti ini menggalakkan kedua-dua perkara, iaitu kesihatan dan menikmati teknologi.

Tetapi sebenarnya, yang benar-benar jelas fokus kepada kesihatan adalah Apple Watch. Ia adalah antara jenama paling popular dan produk ini antara yang paling laris. Generasi baru seperti Series 4 sehingga 6, hadir dengan sensor-sensor unik khusus untuk pemantauan kesihatan dari semua usia. Ia ada amaran jika terjatuh, ada ECG, mengukur oksigen dalam darah, memberi amaran kepada ahli keluarga mengenai masalah kesihatan pengguna. Kesemua ini adalah sambil menikmati ekosistem hebat untuk pengalaman teknologi yang lancar.

Apple Watch

Semasa kami gunakan Apple Watch, ia benar-benar beri kami galakan untuk sekurang-kurangnya cuba kembali aktif.

Memang benar ada lagi banyak pilihan seperti Fitbit, Garmin, SUUNTO, atau Amazfit. Keempat-empat jenama ini antara yang memberikan galakan sebenar untuk aktif sambil tahu batas teknologi.

Kita ambil contoh Fitbit dan Amazfit. Mereka amat terkenal dengan pelbagai jenis rekaan produk penjejak kesihatan dengan benar-benar fokus kepada penjagaan kesihatan. Bukan sekadar jenama, tetapi jika orang lihat jenama ini pasti sudah tahu ia untuk apa. Dengan rekaan unik, pengguna akan pakai dan cuba manfaatkan ciri dan fungsi. Mungkin secara tidak sedar, pengguna akan kekal sihat kerana menerima notifikasi untuk terus cergaskan diri.

Di sini kita tahu yang teknologi memang menarik. Tetapi tanpa kita sedar, sambil mendalami era teknologi kita turut menjadi sihat. Pada hemat kami, GIMIK sebenar antara semua produk peranti boleh pakai ini adalah rekaan dan ciri/fungsi tambahan. Penggunaan asas masih kekal, iaitu pantau tidur, pantau pergerakan, melihat corak imbasan nadi dan beri nilai sihat atau tidak – semuanya boleh.

Kita sudah berbelanja lebih untuk teknologi seperti ini, kita pasti akan cuba memanfaatkan segalanya. Seperti saya sendiri, saya menggunakan Oppo Watch, bila rasa terlampau penat atau tertekan apa yang saya lakukan adalah senaman bernafas. Saya boleh lihat data pada Google Fit yang menyokong rentas platform, iaitu bagaimana nadi saya ketika bernafas dengan tenang. Ia adalah satu tingkah laku baru ketika menggunakan jam ini dan saya sendiri tidak pernah rancang.

Tidak dinafikan yang dunia ini mempunyai banyak jenis teknologi. Tetapi yang paling mudah untuk kita kekal sihat adalah melalui jam tangan pintar atau juga penjejak kesihatan. Jadi tanggapan kami ini boleh dikatakan benar, dengan memakai jam pintar – kita boleh kekal sihat kerana ia memberikan galakan kepada diri kita untuk mejadi sihat.

Kaca Mata

Di masa hadapan nanti, akan lebih banyak pilihan penjejak kesihatan. Mungkin jam tangan pintar sebenar akan lebih murah menjadi semurah jam biasa atau harga seakan Mi Band. Kemudian pengganti jam tangan adalah peranti boleh pakai generasi baru. Mungkin filem-filem sains fiksyen yang ada teknologi peranti boleh pakai, yang asalnya hanya gimik filem akan menjadi realiti. Apa-apa pun, kewujudan asal produk ini sentiasalah galakan untuk peminat teknologi menjadi sihat. Ia ternyata dengan jelas!


TIPS & ULASAN