Cari @ Amanz

Siri komputer riba Lenovo Yoga dikenali orang ramai sebagai komputer riba produktiviti yang bukan sahaja nipis dan ringan, tetapi juga hadir dengan kuasa pemprosesan yang cukup berkuasa.

Terkini, Lenovo telah memperkenalkan model komputer riba terbaru didalam siri ini yang dikenali sebagai Lenovo Yoga Slim 7i Carbon, yang boleh dikatakan komputer riba Lenovo pertama yang dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake yang terbaru.

Dari segi rekaan, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 13.3 inci dengan sokongan untuk gamut warna sRGB 100%, bingkai nipis yang membolehkan bahagian skrin mengambil 91 peratus daripada jumlah paparan tersebut.

Komputer riba Yoga 7i Carbon ini juga dibina menggunakan rangka luaran gentian karbon yang telah melepasi piawaian MIL-STD 810G yang menjanjikan bahawa komputer riba ini tahan lasak.

Bukan itu sahaja, oleh kerana rangka komputer riba ini diperbuat daripada bahan tersebut, Lenovo juga mengatakan bahawa berat keseluruhan Yoga 7i Carbon ini seringan 996g sahaja.

Dari segi spesifikasi, Lenovo Yoga Slim 7i ini dilengkapi dengan pilihan Intel Core i5 ataupun Core i7 generasi ke-11 Tiger Lake, memori DDR4 sehingga 16GB dan storan SSD PCIe sebesar 1TB.

Ia juga dilengkapi dengan sebuah bateri dengan kapasiti 50Wh dimana Lenovo menjanjikan jangkahayat bateri selama 12 jam dengan satu pengecasan penuh. Komputer riba ini juga dilengkapi dengan sistem pengecasan pantas dimana pengguna boleh menggunakan komputer riba ini selama 2 jam dengan pengecasan selama 15 minit sahaja.

Bukan itu sahaja, oleh kerana komputer riba ini tergolong dalam siri Intel Evo, ia juga hadir dengan teknologi-teknologi baru seperti Thunderbolt4 yang menjanjikan kadar penghantaran data yang sangat pantas, dan boleh disambungkan ke paparan besar melalui kabel USB-C sahaja.

Lenovo Malaysia menjangkakan bahawa komputer riba ini akan tiba di pasaran tempatan pada penghujung bulan Oktober dengan harga permulaan RM4399.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd