Pada 5 hingga 11 Oktober 2020 yang lalu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjalankan acara tahunan #MyDigitalMaker mereka secara maya buat kali pertama. Acara ini bertemakan “Digital Skills Today, Workplace of Tomorrow” yang mana ia menyasarkan anak-anak muda menyertai program ini untuk mengasah bakat digital mereka. MDEC ini telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat teknologi pendidikan dan penyedia latihan. Antaranya adalah Chumbaka, Petrosains, Bett Asia, Aplhakidz, Microsoft, Apple Distinguished Educators dan banyak lagi bagi menjayakan program ini.
Sepanjang acara ini berlangsung, terdapat lebih daripada 490 bengkel, seminar atas talian (webinar), dan pelbagai tutorial untuk membimbing para pelajar dan guru. Terdapat juga lebih daripada 200 penceramah memberikan tips dan pandangan mereka tentang penglibatan anak muda dalam menghasilkan kandungan digital kepada para ibu bapa. Antara yang terlibat adalah Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Kamala Shirin Lakhdhir, Duta Besar A.S. ke Malaysia dan ramai lagi.
Program ini ternyata telah berjaya menarik 19,000 peserta dan juga pelawat daripada Malaysia dan luar negara yang merangkumi pelbagai peringkat umur pelajar. Pelajar-pelajar ini kemudiannya akan bertanding untuk pertandingan Battle of the Digital Ninja yang mana ia adalah satu program untuk membimbing anak muda untuk menjadi kreatif dalam menghasilkan pelbagai jenis kandungan digital. Program ini dikatakan bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai cabaran global secara digital terutamanya semasa pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang ini.
Ia juga telah diadili oleh seorang juri, iaitu Dato’ Seri Ivan, Group CEO, Fusionex International, yang mana beliau juga akan menawarkan wang tunai tambahan RM10,000 kepada hadiah yang dimenangi oleh sesebuah pasukan. Hadiahnya yang lain terdiri daripada pelbagai hadiah yang berjumlah RM3,825.

Pasukan yang memenangi pertandingan ini adalah Spartan yang telah mencipta tong sampah untuk pelitup muka yang boleh dikawal melalui Internet of Things (IoT). Ia juga dilengkapi dengan aplikasi MySejahtera bagi membantu menjejak pengguna pelitup muka yang membuangnya ke dalam tong sampah ini. Malah ia juga mempunyai sistem pembersihannya yang tersendiri menggunakan sinar UV dan mekanisme gamifikasi bagi mendorong orang ramai untuk menggunakan tong sampah ini. Pasukan pemenang ini terdiri daripada pelajar yang berumur antara 11 hingga 16 tahun, iaitu:
- Eimaiyan A / L Kaliyappan, 11 (SJKT Ladang Wellesley, Kedah)
- Julian Siah, 13 (SMK Damansara Utama, Selangor)
- Wong Jin Tim, 15 (SMK Damansara Jaya, Selangor)
- Calvin Khoo Zhen Chen, 15 (SMJKC Phor Tay, Pulau Pinang)
- Nurul Alisa Binti Hairul Hisham, 16 (SMK Taman Megah Ria, Johor)
Peserta juga terinspirasi oleh kisah-kisah guru dan pelajar cemerlang yang telah berjaya dalam menghasilkan kandungan digital. Antaranya adalah:
- Pemenang Cikgu Juara Digital 2020, Abdul Rahman Bin Ali Bashah (Cikgu Aman) dari SMK Jenjarom, Kuala Langat, Selangor. Dia kini mewakili Malaysia di Microsoft E2 Global Education Exchange 2020 yang tidak lama lagi akan diadakan di Sydney, Australia
- Muhammad Qaed Najdat, pelajar dari SM Sains Tunku Jaafar, Negeri Sembilan – baru-baru ini dia memenangi Pingat Emas untuk Drone Operating di World Champion Skills 2020
- Anabelle Lee Syin Yee, Usahawan Muda dan Inovator Muda 11 tahun dari Rafflesia International School KL dianugerahkan sebagai Ninja Digital Rookie Terbaik (Peserta Baru)
Dengan adanya program ini, ia ternyata membuka peluang yang lebih luas kepada anak muda di Malaysia untuk terus hadir dengan idea yang lebih kreatif dalam menghasilkan pelbagai kandungan digital. Ini sekaligus menjadikannya selari dengan apa yang disasarkan oleh MDEC.