Termostat Terbaru Nest Dari Google, Hadir Dengan Sensor Soli

Termostat Terbaru Nest Dari Google, Hadir Dengan Sensor Soli

Diterbitkan pada Okt 13, 2020 oleh .

Tahun 2015, Google memulakan projek – Project Soli. Ia adalah sensor radar untuk pengguna umum. Produk ini menjadi realiti pada tahun lepas melalui Pixel 4/4XL, yang mana membolehkan kawalan gestur atas udara Motion Sense dan juga nyahkunci berasaskan wajah Face Unlock. Sensor Soli ini boleh dikatakan gimik untuk peranti dan pada Pixel 5, ia tidak lagi menyertakan sensor tersebut.

Google ada katakan yang sensor Soli ini tidak akan disia-siakan begitu sahaja dan akan digunakan dalam produk lain di masa hadapan. Terkini Google telah melancarkan termostat baharu, Nest Thermostat dengan sensor Soli terbina. Ia adalah alat kawalan suhu terbaru yang lebih mampu milik. Banyak pengorbanan telah dilakukan pada termostat kali ini. Pertama, 49% bahan binaannya adalah plastik kitar semula. Kedua, tiada lagi kawalan melalui kerangka yang boleh putar. Akhir sekali, ia tiada lagi fungsi pembelajaran mesin – jadi kawalan suhu semuanya perlu dilakukan sendiri.

Sensor Soli ini dibina untuk mengesan kehadiran manusia apabila berada di hadapan termostat tersebut. Ia tidak mampu membuat kawalan gestur. Kawalan adalah jenis sesentuh di sisi peranti. Walaupun ia tidak belajar suhu apa dan tiada kawalan automatik seperti termostat sebelum ini, ia masih boleh dikawal dengan Google Home, Google Assistant atau juga Amazon Alexa.

Skrin pula adalah jenis yang mudah lihat dan minimalis. Ia turut mempunyai sensor geolokasi untuk mengaktifkan mod penjimatan kuasa dan boleh memantau HVAC pengguna ketika tiada di rumah. Harga jualan adalah $129 sahaja.



TIPS & ULASAN