UWB atau Ultra Wideband, adalah sensor lokasi baharu yang lebih jitu. Pada iPhone 11 ia diperkenalkan melalui cip U1, manakala untuk Android ia hanya ada pada Galaxy Note20 Ultra dan Galaxy Z Fold2. Kebiasaannya cip ini dipasarkan untuk tujuan mencari peranti dengan lebih tepat, seperti Find My Device atau juga untuk perkongsian fail.
Sensor UWB ini bijak, kerana boleh berfungsi dengan hanya menghalakannya. Ia juga bijak memahami pengguna ingin menghantar fail ke arah yang ditetapkan dan bukan kepada peranti-peranti lain yang berdekatan. Terkini, Xiaomi telah memperlihatkan penggunaan berbeza untuk UWB pada peranti mereka.
Xiaomi lebih memfokuskan kepada kawalan peranti berhubung untuk rumah pintar. Peranti tidak lagi memerlukan sensor infra merah, sebaliknya hanya halakan peranti ke lampu atau kipas – ia boleh terus membuat kawalan. Lebih menarik, aplikasi mengawal peranti berhubun ini juga bijak. Jika anda halakan peranti ke lampu, ia akan paparkan kawalan untuk lampu sahaja. Jika halakan ke televisyen, ia akan paparkan kawalan untuk televisyen pula.
UWB masih awal lagi. Banyak lagi kemampuan yang ia boleh lakukan. Xiaomi turut membuat demonstrasi membuka pintu. Kelak ia juga boleh digunakan untun pintu kereta, dan juga penjejak kesihatan. Bila ia akan meluas? Itu masih tidak pasti lagi. Sama-sama kita nantikan.